Produk Kecantikan Haram Bernilai Lebih RM50,000 Dirampas

KOTA BAHARU, 29 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Kelantan merampas pelbagai produk kecantikan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai lebih RM50,000, di sebuah klinik swasta di sini, pada 20 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata produk kecantikan haram itu dilakukan melalui suntikan seperti bebuli Vitamin C, sari placenta dan hormon.

Doktor tersebut turut menyimpan dan menjual empat jenis ubat perangsang seks haram di klinik tersebut, katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata serbuan dilakukan tujuh pegawai Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Kelantan, pada 10.30 pagi, setelah intipan selama sebulan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau turut mengingatkan pengamal perubatan swasta supaya beretika terhadap profesion mereka dan tidak menjual produk yang tidak berdaftar dengan KKM.

"Pengamal perubatan dinasihat agar tidak mengikut permintaan pesakit yang memohon untuk menyuntik vitamin C ke dalam badan mereka walaupun vitamin tersebut milik pesakit itu sendiri," katanya.

Menurut beliau, gejala pengambilan Vitamin C secara berlebihan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat katarak dan penyakit ginjal yang boleh menyebabkan kematian.

-- BERNAMA