MyIPO Sasar 40,000 Pengunjung Sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2013

MELAKA, 4 Jun (Bernama) -- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyasar kira-kira 40,000 pengunjung sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2013 yang bakal berlangsung tiga hari di Melaka mulai 13 Jun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sambutan kali ke-9 bertema 'Transformasi Negara Melalui Harta Intelek' merupakan satu daripada program bagi memupuk kesedaran serta mempertingkat kefahaman masyarakat berkaitan perlindungan harta intelek.

"Sambutan Hari Harta Intelek Negara ini diharap akan terus memanfaatkan rakyat sebagai platform pendidikan yang mampu mempertingkat kefahaman berkaitan harta intelek, dan seterusnya menyemarakkan budaya kreativiti serta inovasi dalam ekosistem ekonomi sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran sambutan itu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan & Pengurusan) kementeian itu Datuk Basaruddin Sadali dan Pengerusi MyIPO Datuk Abdul Manan Ismail.

Ahmad Bashah berkata sambutan itu juga merupakan medium kepada individu dan syarikat tempatan, khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS), memperkenal serta mempromosi produk mereka yang memiliki harta intelek seperti cap dagang, paten, reka bentuk perindustrian, hak cipta serta petunjuk geografi.

Beliau juga berkata kementerian melalui MyIPO akan menganjur pelbagai program meliputi riadah dan kesenian bermula dengan Pencarian Harta Karun melibatkan 50 kereta di Dataran Sejarah Ayer Keroh pada 8 Jun, Saringan Bintang Retro pada 9 Jun dan kemuncaknya, yang merupakan majlis perasmian oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 13 Jun.

Ahmad Bashah berkata majlis penyampaian Anugerah Harta Intelek Negara 2013 yang dibahagi mengikut tiga kategori utama iaitu organisasi, individu atau kumpulan dan pereka cipta muda harta intelek, turut diadakan.

Beliau berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada sumbangan hasil inovasi pereka cipta dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Antara program lain ialah pertandingan pidato melibatkan pelajar sekolah menengah sekitar Melaka, pameran, seminar hak cipta, seminar cap dagang dan Konsert Harta Intelek yang terbuka kepada orang ramai serta percuma, katanya.

Pada majlis itu, MyIPO turut memperkenal maskot harta intelek yang dikenali sebagai 'IP FrenZ' bagi menarik minat golongan remaja dan kanak-kanak.

-- BERNAMA