Jakim Terima Lebih 6,000 Permohonan Sijil Halal Melalui E-Halal

SUNGAI PETANI, 15 Mac (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima lebih 6,000 permohonan daripada syarikat-syarikat tempatan untuk mendapatkan Sijil Halal Malaysia menerusi sistem e-Halal sejak sistem itu diperkenalkan ke seluruh negara secara berperingkat bermula 2010.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata menerusi aplikasi e-Halal, syarikat yang sijil halal terdahulu sudah tamat tempoh atau belum mempunyai sijil halal, boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian.

"Sistem ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri namun sijil halal hanya akan dikeluarkan oleh Jakim untuk mewujudkan keseragaman memandangkan sijil yang dikeluarkan di peringkat negeri, kadang-kadang tidak diiktiraf oleh negara luar.

"Sehingga Disember 2012, terdapat seramai 4,292 pemegang sijil halal di seluruh negara, malah bagi tempoh sama, Jakim menerima lebih 6,000 permohonan mendapatkan sijil halal menerusi e-Halal," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Karnival Halal Kedah 2013, di sini, Jumaat.

Terdahulu pada majlis sama, dua syarikat yang membuat permohonan menerusi e-Halal menerima sijil halal daripada Jakim, yang diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Syarikat terbabit ialah syarikat pengeluar gula-gula yang beroperasi di Sungai Petani, Saujania Sdn Bhd yang diwakili Eksekutif Jaminan Kualitinya Noor Najiha Yusoff, serta syarikat pengeluar bahan kimia untuk makanan yang beroperasi di Kulim, Thong Sheng Food Technology Sdn Bhd, yang diwakili Eksekutif Kanan Pemasaran Chew Chin Weng.



-- BERNAMA