Kompleks Kolam Renang MPK Di Indera Mahkota Dibuka Kepada Orang Ramai Mulai Esok

KUANTAN, 28 Feb (Bernama) -- Kompleks kolam renang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Wisma Belia Indera Mahkota di sini akan dibuka kepada orang ramai bermula esok.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, kolam renang berkenaan dibuka pada setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 9 malam.

"Bayaran masuk untuk orang dewasa ialah RM4 seorang dan RM3 untuk kanak-kanak bagi tempoh 8.30 pagi hingga 6 petang.

"Selepas 6 petang dan hujung minggu, bayaran RM5 untuk dewasa dan RM4 bagi kanak-kanak," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan pengunjung supaya sentiasa berwaspada semasa berada di dalam kolam sedalam 1.5 meter itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Katanya, selain menyediakan lapan petugas MPK di kompleks itu, pihaknya turut menyediakan peralatan kecemasan seperti jaket keselamatan.

Kompleks kolam renang berkenaan telah ditutup kepada orang ramai sejak tahun 2011 berikutan kerja-kerja naik taraf bagi acara akuatik pada Sukan Malaysia ke-15 Julai tahun lepas.

-- BERNAMA