Bank Muamalat Malaysia Berhad Rancang Buka Satu Lagi Cawangannya Di Sabah

TAWAU, 29 Jun (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) merancang membuka cawangan ketiganya di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Tawau, bagi memenuhi keperluan perkhidmatan perbankan penduduk negeri itu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Bagaimanampun katanya pihaknya masih meneliti lokasi paling sesuai untuk pembukaan cawangan ketiga BMMB di Sabah itu bagi memastikan kewujudannya kelak mampu memberi perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada pelanggan.

"Pada masa ini, kami sedang meneliti keutamaan dan potensi lokasi cawangan ketiga BMMB itu, sama ada di Lahad Datu atau Sandakan. Kedua-dua daerah ini semakin pesat membangun dan pihak bank perlu memberi perhatian yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas pembukaan rasmi cawangan ke-58 bank berkenaan di Kubota Square, Jalan Kubota di sini pada Jumaat.

Cawangan BMMB Tawau merupakan cawangan kedua syarikat perbankan Islam itu di Sabah selepas Kota Kinabalu.

Mohd Redza juga berkata pada masa ini BMMB lebih memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan prestasi cawangan sedia ada berbanding membuka banyak cawangan memandangkan kepuasan pelanggan merupakan keutamaan bank.

Terdahulu, Timbalan Pegawai Eksekutif BMMB Musa Abdul Malik dalam ucapannya berkata BMMB yang telah beroperasi sejak 13 tahun di negara ini, kini melaksanakan perancangan menyeluruh serta terperinci bagi membolehkannya terus berkembang dan mencapai sasaran satu juta pelanggan dalam tempoh terdekat.

"Misi BMMB ialah untuk memberi kemudahan dan keselesaan perbankan mengikut syariat Islam sepenuhnya kepada pelanggan. Sektor kewangan Islam pada masa ini berkembang dengan pesat namun dilihat masih terlalu kecil berbanding potensinya yang sebenar," katanya.

Katanya antara penyebab yang menghalang pertumbuhan sistem kewangan Islam ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung alternatif yang ditawarkan dalam sistem perbankan Islam serta pasarana modal dan pelaburan.

"Kami di BMMB sentiasa mencari jalan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang alternatif perbangkan Islam," katanya.

Mengenai pengembangan cawangan bank itu di Sabah, Musa berkata prestasi ekonomi di Sabah yang semakin membangun, terutama di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC), berpotensi untuk menarik pelabur menjalankan perniagaan berlandaskan Islam di negeri itu.

Katanya perkembangan ekonomi di Sabah dan juga Sarawak itu dilihat sebagai landasan terbaik bagi BMMB mengembangkan sayapnya ke kedua-dua negeri berkenaan.

Pada majlis itu, BMMB turut menyampaikan sumbangan kepada 10 buah masjid di Tawau sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya.

-- BERNAMA