TV LED Dan Berinternet Mula Dapat Sambutan, Kata Gfk

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Orang Malaysia membeli lebih banyak set televisyen dan ramai yang mula mencari televisyen LED atau yang mempunyai ciri-ciri yang mempunyai hubungan Internet, atau malahan kombinasi kedua-duanya.

Syarikat penyelidikan pasaran GfK Malaysia mendedahkan aliran yang sedang muncul dalam pasaran televisyen Malaysia yang bernilai US$629 juta sekarang yang mencatatkan kuantiti 50 peratus dan 17 peratus dalam pertumbuhan nilai sejak 12 bulan lepas.

"TV LED semakin popular, seperti yang dicerminkan daripada pertumbuhan konsisten bulan ke bulan pada tahun lepas.

"Hari ini, lebih daripada satu dalam setiap tiga unit yang dijual di negara ini adalah TV LED, berbanding setahun lalu di mana segmen ini hanya menyumbang 17 peratus kepada kuantiti jualan semua TV skrin rata," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurus Besarnya Jennifer Chan berkata penurunan harga telah menjadikan TV LED mampu milik dan ini merupakan faktor utama yang memacu peningkatan jualan di negara ini.

"Kita menyaksikan penurunan keseluruhan harga TV. Sebagai contoh, harga TV LED 42 inci secara puratanya ialah US$973 setahun lalu tetapi hari ini ia kurang 31 peratus, hanya US$673," katanya.

Hubungan Internet merupakan satu lagi ciri TV terbaharu yang semakin dicari pelanggan, lapor GfK.

"Kadar pembelian TV berinternet semakin meningkat sejak 12 bulan lepas, di mana hampir 215,000 unit, atau 17 peratus daripada semua TV panel rata dijual, yang dilengkapkan dengan keupayaan untuk mengakses kandungan di Internet.

"Ini mencerminkan peningkatan 10 peratus berbanding tempoh sebelumnya, yang mencatatkan hanya 7 peratus bahagian pasaran pada masa itu," demikian menurut laporan itu.

Chan berkata TV berinternet mencatatkan pertumbuhan kukuh di Malaysia, seperti yang dibuktikan daripada stok yang semakin banyak tersedia dalam pasaran bagi menampung permintaan pengguna yang celik tekonologi untuk menikmati teknologi TV paling canggih itu.

"Akses Internet merupakan aspek penting dalam teknologi moden hari ini, seperti yang dibuktikan menerusi gajet popular terkini seperti telefon pintar, tablet, kamera dan kini TV," katanya.

Hasil penyelidikan GfK Malaysia juga mendedahkan peningkatan bilangan pengguna di Malaysia yang berminat membeli saiz skrin TV lebih besar susulan penurunan harga.

Kuantiti jualan TV melebihi 40 inci semakin meningkat menyumbang 44 peratus daripada keseluruhan jualan, naik 6 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Chan berkata teknologi TV sentiasa berevolusi, dengan ciri-ciri inovatif sentiasa diperkenalkan untuk mewujudkan tarikan dalam pasaran.

-- BERNAMA