Jubilant Prestige Sasar Jualan Bernilai RM2 Juta Bagi Produk Lampe Berger

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Jubilant Prestige Sdn Bhd, pengedar tunggal produk Lampe Berger Paris di Malaysia, menyasarkan jualan yang mencecah RM2 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Julie Lim, berkata syarikat itu akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memasarkan jenama itu secara runcit biasa, dan ini bererti produk Perancis itu kini boleh didapati oleh sesiapa sahaja pada harga termampu.

"Kami berharap dapat mencapai sasaran jualan bernilai RM2 juta dalam tempoh sebulan, melalui cawangan operasi kami di Bangsar, Sungei Wang Plaza dan Solaris Dutamas," katanya kepada Bernama.

Lim berkata demikian selepas menandatangani perjanjian pengedaran dengan Lampe Berger Paris di sini pada Jumaat.

Produk Lampe Berger boleh dianggap sebagai perintis dalam industri pemurnian udara dan wangian aromatik, dan terdapat 44 jenis minyak pati wangian yang ditawarkan, bagi tujuan pelbagai fungsi.

Beliau juga berkata syarikat itu berhasrat mencapai penggunaan produk Lampe Berger di setiap rumah, pejabat dan tempat-tempat lain.

"Kami berhasrat mencapai ini dengan menubuhkan minimum 20 kiosk atau kedai di Lembah Klang dalam masa sebulan selepas mula beroperasi," tegasnya.

Lim berkata syarikat itu memperluas pasaran sekarang ekoran sambutan positif daripada pelanggan Lampe Berger dan mereka yang telah membeli produk itu melalui saluran-saluran lain.

"Kami ada rancangan untuk membuka tiga cawangan di Pavilion, Mid Valley Megamall dan Pusat Beli Belah Bangsar tidak lama lagi," katanya.

Katanya, syarikat itu juga akan membuka peluang-peluang perniagaan bagi mereka yang berminat untuk menjadi wakil penjual di negeri-negeri.

"Keseluruhannya, kami berharap dapat mewakili Lampe Berger Paris di Malaysia, dengan menempatkan cawangan-cawangan kami di lokasi strategik, serta memberikan khidmat pelanggan terbaik dan menawarkan rangkaian produk yang luas pada harga berpatutan," tegas Lim.

Minyak pati wangian Lampe Berger dikatakan mempunyai pelbagai khasiat, termasuk meningkatkan keadaan fizikal seseorang seperti lavender untuk mengurangkan masalah sukar tidur, eucalyptus untuk membantu dalam masalah pernafasan dan cendana untuk meningkatkan ketenangan.

Disebabkan keunikannya, botol-botol Lampe Berger kini menjadi koleksi pengumpul dari tahun ke tahun, kerana hanya 30 botol baharu dibuat setiap tahun.

-- BERNAMA