Syarikat Francais Tempatan Berpotensi Kembang Perniagaan Ke Luar Negara

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Syarikat francais tempatan perlu meningkatkan usaha untuk mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa kerana kebanyakannya mempunyai potensi besar, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Daud Tahir.

Beliau berkata syarikat francais tempatan harus mencontohi kejayaan syarikat lain yang bukan saja telah berjaya di dalam negara malah di luar negara.

Mengambil contoh Syarikat Smart Reader Worldwide Sdn Bhd (Smart Reader), Daud berkata ia adalah sebuah francaisor pusat perkembangan kanak-kanak yang terbesar di negara ini.

"Syarikat tersebut telah berjaya memperkembangkan francaisi di negara-negara seperti Thailand, Filipina, Brunei, Syria, Jordan dan China," katanya ketika melancarkan cawangan Smart Reader Kids di Taman Mawar, Puchong di sini.

Daud berkata perkembangan dan kemajuan yang dicapai syarikat itu membuktikan bahawa francais merupakan satu model perniagaan yang berjaya dan wajar dicontohi serta dijadikan sebagai penanda aras bagi syarikat francais lain.

-- BERNAMA