Menjana Keuntungan Dari Madu Kelulut

KOTA BAHARU, 23 Feb (Bernama) -- Razip Ibrahim, 54, sudah tiga tahun mengusahakan ternakan kelulut yang menurut beliau madu kelulut mampu menjana pendapatan lumayan kepadanya.

"Setakat ini kami berjaya mengeluarkan kira-kira 30 kilogram madu kelulut sebulan, namun ia masih tidak mencukupi kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

"Kami sekarang dalam proses untuk menambahkan bilangan sarang kelulut yang diternak di kawasan kebun daripada 30 koloni kepada 100 koloni dalam masa terdekat untuk menampung permintaan tersebut," katanya yang juga merupakan pengurus Syarikat Razip International Trade di Kampung Petani Sering di sini.

Razip berkata syarikatnya mengeluarkan tiga produk dari kelulut iaitu madu, roti lebah (bee bread) iaitu makanan kelulut ketika di luar musim bunga dan propolis yang berupa sejenis getah.

"Harga bagi setiap 300 gram madu kelulut adalah RM35, manakala bagi roti lebah RM30 bagi 200 gram sementara propolis pula berharga RM25 bagi setiap 10 mililiter.

"Selain itu, kami turut menjual madu lebah biasa yang turut diternak dengan harga RM28 bagi setiap 300 gram," katanya.

Mengenai khasiat madu kelulut, Razip berkata ia lebih sedap daripada madu lebah dan mempunyai khasiat dua kali ganda lebih baik berbanding madu lebah.

Antara lain ia mampu meningkatkan metabolisme badan, menjaga kecantikan serta merawati pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman.

Sementara propolis pula dipercayai mampu merawat ulser dan mencuci buah pinggang serta berkesan untuk mencegah pembiakan sel kanser selain dapat bertindak sebagai antibakteria.

Hasil kajian ke atas roti lebah kelulut pula mendapati ia mempunyai lebih banyak asid "amino essential" yang mampu memperkuatkan fungsi hati, hempedu, otot, mata serta dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi seseorang pengamal yang memakannya.

Mereka yang berminat untuk mendapat maklumat mengenai madu kelulut boleh menghubungi Razip di talian 013-9840911 atau melayari laman sesawang www.lebahkelulut.com.

-- BERNAMA