16 Lagi Kedai Tukar Koperasi Akan Diwujudkan Di Kelantan Tahun Ini

KOTA BAHARU, 22 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan mensasarkan 16 buah lagi kedai koperasi diwujudkan di bawah program Transformasi Kedai Runcit Koperasi (Tukar) tahun ini.

Pengarah SKM Negeri Kelantan, Wan Mohamad Sabri Wan Haron berkata sejak program itu dilancarkan pada November tahun lepas, Kelantan kini mempunyai sembilan buah kedai seumpamanya.

Program itu bertujuan memberi peluang kepada koperasi terlibat dengan sektor pemborongan dan peruncitan untuk menjamin keseragaman jenama Ko-op Mark 1Malaysia, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Wan Mohamad Sabri berkata antara kriteria ditetapkan bagi kewujudan kedai itu ialah setiap kedai mesti dimiliki koperasi berdaftar dan memiliki saham antara RM20,000 dan RM30,000, selain mempunyai rekod pengurusan dan pentadbiran yang baik.

Beliau berkata program itu dapat memberi manfaat kepada anggota kerana dapat mengawal harga pasaran serta meningkatkan imej dan keseragaman hasil pengurusan dan pengendalian moden dan terkini.

"Kedai ini juga dapat menjual barangan produk Malaysia dengan harga lebih murah iaitu antara 30 hingga 40 peratus," katanya.

Wan Mohamad berkata pada masa ini, SKM menjadikan Felda Trading Sdn Bhd (FTSB) sebagai mentor atau khidmat rundingan dalam program itu.

Antara manfaat yang diperoleh melalui Kedai Tukar ialah meningkatkan jualan dan mengawal harga barang dan imej kedai yang baru dan seragam serta membekalkan barangan secara berterusan dan terjamin, katanya.

-- BERNAMA