Cuaca Panas Rezeki Bagi Pembekal Alat Pendingin Hawa

Oleh Zulkiple Ibrahim

RAWANG, 30 Jan (Bernama) -- Cuaca panas di sekitar Lembah Klang kini menimbulkan keresahan bagi ramai penduduk.

"Bila saya hidupkan kipas siling pada waktu malam, angin yang berputar di dalam bilik agak panas. Bila saya buka tingkap, nyamuk pula masuk. Mujur ada pendingin hawa tapi bil elektrik pula naik".

Itu keluhan Abdul Rahim Hameed, yang tinggal di Bandar Country Homes dekat sini.

Ramai sudah tentu setuju dengan apa yang diperkatakan beliau, kerana penggunaan alat pendingin hawa akan menyebabkan kenaikan kos tenaga yang ketara selain daripada lebih kerap berlakunya gangguan bekalan disebabkan penggunaan elektrik yang lebih tinggi daripada biasa.

Bukan beliau seorang yang mengalami keresahan tentang cuaca panas yang melanda Lembah Klang pada masa sekarang, walaupun hujan turun sekali sekala. Ini juga dirasai beribu-ribu lagi penduduk yang menghadapi masalah sama apabila tidur mereka pada waktu malam terganggu oleh kepanasan yang tinggi.

Penjawat awam Zaidah Zainal berkata beliau terpaksa menggunakan pendingin hawa kerana anak kecilnya tidak boleh tidur tanpanya.

"Anak saya hanya boleh tidur bila saya guna pendingin hawa kerana hawa panas lebih dirasai pada waktu malam," katanya.

PENDINGIN HAWA, KIPAS PENYEJUK

Tetapi cuaca panas ini mendatangkan rezeki kepada pembekal alat pendingin hawa dan kipas angin penyejuk.

Boon Lee (yang mahu dipanggil sebagai 'Boon') dari Lee Trading iaitu pembekal alat elektrik rumah di sini, memberitahu bahawa penjualan alat pendingin dan juga kipas angin penyejuk meningkat sejak akhir bulan lepas.

"Biasanya saya dapat jual dua atau tiga pendingin hawa dalam sebulan tapi sejak cuaca panas ini, saya berjaya menjual sebanyak 12 unit dalam masa dua minggu," katanya.

Menurut Boon antara jenama pendingin hawa yang dicari pelanggan ialah Acson dan York. Ramai juga yang memilih alat yang mempunyai 1.5 kuasakuda (hp).

"Bagi bilik tidur, alat 1.0 hp sudah cukup manakala yunit 1.5 hp boleh digunakan bagi ruang tamu saiz sederhana. Alat 1.5 hp berharga RM1,200 setiap satu manakala yang 1.0 hp kurang daripada RM1,000," jelas beliau.

Menurut Boon, harga kipas penyejuk adalah lebih murah iaitu beberapa ratus sahaja mengikut jenama.

(Alat ini merupakan kipas yang berbentuk kotak yang bahagian bawahnya boleh diisi air atau kiub air batu bagi tujuan penyejukan. Tinjauan di hipermarket menunjukkan kipas penyejuk ini laris kerana ia bukan sahaja lebih murah daripada pendingin hawa tetapi juga ia mudahalih).

SERVIS

Bagi bekas pendawai Tenaga Nasional, Nasha (bukan nama penuh) yang sekarang memberi khidmat servis dan memasang pendingin hawa di Bandar Tasik Puteri dekat sini, rezekinya telah bertambah semasa keadaan cuaca panas ini.

"Saya terima banyak permintaan dari tuan punya rumah untuk servis alat pendingin hawa mereka(yang sedia ada). Ada juga yang minta saya bekalkan pendingin hawa (baru) kerana ramai mengadu tidak boleh tidur malam sebab cuaca panas," jelas Nasha yang mengenakan bayaran RM125 bagi upah khidmat servis satu unit pendingin hawa.

Di musim panas ini, beliau menerima tempahan bagi membekalkan 20 unit pendingin hawa 1.0 dan 1.5 hp di kawasan perumahan itu.

Nampaknya cuaca panas yang kini menghantui penduduk Lembah Klang mendatangkan durian runtuh bagi insan seperti Boon dan Nasha.

Apakah itu cuaca atau gelombang panas?

Menurut pakar meteorologi (kajicuaca), gelombang panas muncul akibat cuaca panas yang lebih tinggi daripada biasa dan berterusan untuk suatu masa yang panjang. Ia juga mungkin datang bersama kelembapan yang tinggi.

Menurut laporan berita, Jabatan Kajicuaca menjangkakan gelombang panas serta cuaca kemarau yang kini dialami penduduk beberapa tempat di Malaysia dijangka berlanjutan sehingga bulan September.

Baru-baru ini, suhu dilaporkan mencecah 36.2 darjah di Subang manakala di Kuala Lumpur ia mencecah 36 darjah.

Sehingga kini, hari terpanas dilaporkan di Malaysia ialah pada 18 Mei, 1998. Pada hari itu, suhu di Chuping, Perlis mencecah 38.9 darjah dan Melaka pula, 38 darjah.

Menurut Jabatan Kajicuaca, suhu panas yang menyelubungi Lembah Klang pada masa ini adalah antara 35.3 dan 37.2 darjah Celsius.

NYAMUK

Menurut Hazlinda Hamzah, wartawan dan ibu kepada lima orang anak, yang tinggal di USJ, Subang Jaya dekat sini, beliau mempunyai tujuh unit pendingin hawa di rumah dua setengah tingkatnya.

"Satu unit dipasang di ruang tamu, empat lagi ditempatkan di setiap bilik tidur. Ruang makan juga ada satu unit dan satu unit lagi dipasang di bilik belajar untuk kegunaan anak-anak.

"Kami guna alat pendingin hawa tiga hingga empat jam di waktu malam. Kami tidak boleh buka tingkap selepas pukul enam petang kerana nyamuk akan masuk," katanya.

Tentang bayaran bil elektrik, Hazlinda berkata biasanya bil akan mencecah antara RM330-RM380 bergantung pada penggunaan.

"Nampak gayanya, penggunaan elektrik di rumah kami semasa musim cuaca panas ini akan bertambah kerana pendingin hawa lebih banyak digunakan," katanya.

-- BERNAMA