HSBC Amanah Buka Cawangan Di Bangi

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- HSBC Amanah Malaysia Bhd baru- baru ini membuka sebuah cawangan di Bandar Baru Bangi, menjadikannya bank asing pertama beroperasi di kawasan sekitar tersebut.

Cawangan itu menawarkan produk termasuk penyelesaian kewangan berlandaskan Syariah terdiri daripada perbankan runcit, pengurusan harta dan perbankan perdagangan.

"Kami gembira menjadi bank Islam asing pertama beroperasi di Bangi, satu daripada bandar baharu utama di Selangor yang terkenal dengan saiz kejiranannya yang besar, kawasan perniagaan dan institusi pendidikan tinggi terkemuka.

"Penduduknya yang berbilang bangsa menjadikannya suatu yang ideal bagi kami untuk menjadi sebahagian daripada komuniti di sini," kata Haneef Rafe, ketua pegawai eksekutif HSBC Amanah Malaysia, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata cawangan itu merupakan sebahagian daripada pelan bank tersebut untuk membuka lebih banyak cawangan bagi merapatkan lagi hubungan dengan pelanggan dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian kewangan Islam menyeluruh untuk keperluan individu dan juga korporat.

Cawangan itu terletak di No.55 Jalan Medan Pusat 2D, Persiaran Bangi 43650 Bandar Baru Bangi dan dibuka dari 9.30 pagi hingga 5.00 petang, Isnin hingga Jumaat (ditutup 1.00 petang hingga 2.00 petang pada Jumaat).

Ketika ini, HSBC Amanah mempunyai 15 cawangan di seluruh negara.

-- BERNAMA