Pengguna Malaysia Pilih Kereta Lengkap Peranti Keselamatan, Kata Accenture

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pengguna Malaysia pada umumnya lebih suka memilih kereta dengan teknologi masa depan yang melibatkan sistem komunikasi dan maklumat, demikian mengikut hasil kajian yang dijalankan oleh Accenture.

Ia berkata responden kaji selidik mengenai maklumat dan hiburan dalam kenderaan (IVI), telah menunjukkan bahawa mereka ingin kereta mereka mempunyai kemudahan panggilan kerosakan automatik (92 peratus) dan 82 peratus berminat dalam ciri-ciri pengelakkan trafik.

Kira-kira 81 peratus memilih untuk mempunyai sistem mendapatkan kembali kenderaan yang dicuri, 77 peratus penggunaan keupayaan panggilan kecemasan automatik dan 72 peratus memilih untuk mempunyai ciri-ciri yang akan memberhentikan kenderaan dan secara automatik menghantar panggilan kecemasan perubatan.

Selain Malaysia, Accenture telah menjalankan kajian di enam negara lain termasuk Amerika Syarikat, China, Perancis dan Korea Selatan.

Seramai 7,000 pemandu terlibat dalam kaji selidik global dan majoriti daripada mereka berkata semua teknologi apa yang mereka paling suka menggunakan adalah sistem amaran pertukaran laluan.

Accenture berkata selain mengukuhkan lagi fakta bahawa pengguna kini memberi tumpuan kepada teknologi yang dipacu oleh keselamatan IVI, kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa kebanyakan mereka ingin kereta mereka dilengkapi dengan lebih banyak keupayaan berkaitan maklumat dan komunikasi.

Ia berkata peningkatan populariti teknologi IVI boleh menambah kepada US$200 dalam perolehan setiap kenderaan dalam pasaran matang setiap tahun.

Accenture, syarikat penyumberan luar dan perkhidmatan teknologi, perundingan pengurusan global, menjalankan kajian melalui syarikat penyelidikan bebas Coleman Parkes Research.



-- BERNAMA