Waktu Perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera Dilanjut Sempena Cuti Sekolah

GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Tempoh waktu perkhidmatan kereta api Bukit Bendera dilanjutkan selama dua jam pada hujung minggu mulai Sabtu ini sempena musim cuti persekolahan.

Perbadanan Bukit Bendera dalam satu kenyataan Khamis menyebut perkhidmatan itu akan beroperasi mulai 6.30 pagi hingga 10 malam.

Menurut kenyataan itu, kaunter tiket akan ditutup sejam sebelum tren terakhir berlepas dari stesen atas bukit.

Perbadanan itu juga akan menganjurkan aktiviti pertunjukan ular dan persembahan seni api pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang musim cuti sekolah ini bagi menarik orang ramai berkunjung ke destinasi pelancongan berkenaan.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi pengurusan Bukit Bendera di talian 04-8288880 pada waktu pejabat.



-- BERNAMA