Ibu Pejabat LHDN Pindah Ke Cyberjaya

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan berpindah dan memulakan operasi di bangunan baharu di Cyberjaya, Selangor.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata ibu pejabat yang terletak di Blok 9, Kompleks Kerajaan Jalan Duta ketika ini akan dikosongkan secara berperingkat mulai 16 Nov.

Menurut kenyataan itu, perpindahan ini melibatkan penempatan semula 1,400 staf daripada 19 bahagian dan jabatan LHDN.

"Menara Hasil Cyberjaya yang mempunyai ketinggian 20 tingkat dengan kos pembinaan RM275 juta, bukan sahaja akan menjadi mercu tanda baharu di Cyberjaya, malah menggambarkan kemajuan LHDN," kata Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN.

Buat masa ini, pihak LHDN tidak dapat memberikan alamat penuh dan nombor telefon baharu jabatan yang terlibat dengan perpindahan itu.

Maklumat berkenaan hanya akan dipaparkan melalui laman sesawang LHDN, www.hasil.gov.my, setelah semua urusan diselesaikan.

-- BERNAMA