BSN Perkenal Produk Baru SSP Edisi Khas Bulan Depan

KOTA BAHARU, 24 Sept (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memperkenalkan produk baru Sijil Simpanan Premium (SSP) edisi khas bulan depan, kata Pengurus Operasi dan Deposit BSN, Mohd Shahril Hussin.

Beliau berkata menerusi produk baru itu, penyimpan yang membeli sijil bernilai RM1,000 akan menerima dividen tahunan sebanyak dua peratus dan 2.3 peratus untuk sijil bernilai RM3,000.

"Produk baru ini ialah tambahan kepada produk sedia ada sejak SSP diperkenalkan pada 1978," katanya kepada Bernama selepas majlis cabutan sijil SPP bagi siri bulan September di sini.

Pada majlis itu, sijil SSP yang dibeli di Terengganu dan Kedah mendapat dua hadiah utama bagi bulan ini, iaitu masing-masing sebuah kereta Toyota Camry 2.0E.

Nama pemenang utama dan senarai pemenang lain akan diumumkan menerusi akhbar Selasa depan.

Mohd Shahril berkata sijil bernilai RM1.47 bilion dibeli oleh pemegang di seluruh negara.

Sejak SSP diperkenalkan, ia menarik kira-kira 1.6 juta pemegang sijil iaitu 65 peratus Melayu, Cina (25 peratus) dan India (8) dan selebihnya lain-lain bangsa.

-- BERNAMA