Masalah Kekurangan Minyak Masak Di Labuan Selesai Minggu Depan

LABUAN, 9 Ogos (Bernama) -- Masalah kekurangan minyak masak di Labuan dijangka dapat diatasi minggu depan apabila sejumlah 41,890 kilogram bahan itu dibawa masuk dari Sabah secara berperingkat-peringkat, kata Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Labuan.

Sehubungan itu, Pengarahnya Nursafariza Ihsan meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik dan mendengar khabar angin kononnya harga minyak masak akan naik tidak lama lagi.

Beliau berkata pembelian panik tidak dapat menangani masalah bahkan hanya memburukkan keadaan.

"Akibatnya pengeluar minyak masak dari tanah besar Sabah tidak dapat menampung permintaan minyak masak yang tinggi daripada pengguna di Labuan terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepenggunaan Bersama Penjawat Awam serta Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya di sini.

Beliau berkata dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 71,146 kg minyak masak telah diedarkan kepada pengguna di Labuan dan jumlah itu akan ditambah secara berperingkat-peringkat.

Mengenai kegiatan menyorok barangan keperluan, Nursafariza berkata setakat ini belum ada laporan mengenai perbuatan itu di sini.



-- BERNAMA