Jualan Kek Lapis Sarawak Jatuh Merudum Akibat Persepsi Negatif

KUCHING, 9 Ogos (Bernama) -- Industri kek lapis Sarawak yang sebelum ini menjana pendapatan tinggi usahawan bumiputera wanita negeri ini serta sinonim dengan imej pelancongan Sarawak kini berdepan masa depan yang gelap sehingga ada menghadapi prospek gulung tikar.

Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS) Rabiah Amit berkata walaupun jaminan sudah diberi mereka tidak menggunakan 'Golden Churn Creamy Butter' tetapi pelanggan masih mempunyai persepsi negatif terhadap produk keluaran mereka.

Beliau berkata ada peniaga yang sanggup menyamak peralatan membuat kek lapis mereka bagi mengembalikan keyakinan pelanggan namun masih gagal untuk menyakinkan pelanggan Islam.

"Semalam seorang pengedar kek lapis Sarawak dari Selangor menghubungi saya menangis kerana diugut oleh seorang pelanggan yang menyatakan bahawa kek lapis Sarawak adalah kek babi dan sesiapa menjual akan dipenjarakan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Terdahulu Rabiah bersama dengan pengusaha-pengusaha kek lapis bertemu dengan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah bagi menyuarakan masalah yang dihadapi mereka berikutan pengesahan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bahawa 'Golden Churn Creamy Butter' mengandungi DNA babi.

"Kita merasa amat kecewa dengan keadaan ini jikalau pada tahun lepas, pada awal bulan Ramadan kita dah tak terima tempahan namun sekarang tempahan banyak dibatalkan akibat persepsi negatif terhadap kek lapis Sarawak ini.

"Sekali lagi kami memberi jaminan kek lapis Sarawak adalah halal dan tiada produk tersebut digunakan dan jika ada sekalipun pengusaha sudah mengambil inisiatif untuk menyamak peralatan membuat kek lapis mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, Fatimah mencadangkan pengusaha-pengusaha kek lapis Sarawak mempamerkan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kek lapis di depan kedai mereka sebagai langkah jangka pendek menepis persepsi negatif pelanggan.

Sebagai langkah jangka panjang, Fatimah berkata pengusaha kek lapis Sarawak yang masih belum mendapat pensijilan halal daripada JAIS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif mendapatkan pensijilan tersebut.

Industri kek lapis di Sarawak adalah antara yang paling menguntungkan dengan 39 pengusaha kek lapis yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian Sarawak mencatat jualan RM6.5 juta tahun lalu.



-- BERNAMA