Lada Akan Usaha Jadikan Kompleks Pekan Rabu Lebih Maju

LANGKAWI, 7 Julai (Bernama) -- Kompleks Pekan Rabu Langkawi bakal bertukar daripada suasana hambar menjadi sebuah kompleks membeli belah yang maju di pekan Kuah, Langkawi tidak lama lagi.

Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) (Pengurusan), Abdul Rahman Zainol berkata sehingga kini 38 unit lot kedai yang tidak aktif telah diambil balik oleh Lada sementara 81 unit lagi sedang dalam proses pengambil alihan.

"Lada akan menawarkan semula unit-unit tersebut kepada peniaga-peniaga baru dengan syarat-syarat yang lebih ketat termasuk tidak membenarkan peniaga menyewa atau menjualkan balik kepada orang lain," katanya selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 peniaga aktif pekan Rabu yang beroperasi dengan baik serta membayar sewa bulanan tanpa masalah di perkarangan kompleks itu di sini hari ini.

Katanya, antara usaha lain untuk merancakkan lagi kompleks tersebut adalah dengan menyewakan unit-unit kepada agensi-agensi swasta atau kerajaan yang dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk berurusan di situ.

"Pada masa ini, empat unit lot kedai telah pun disewakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri di tingkat 1 yang dijangka beroperasi pada penghujung tahun," katanya.

Pekan Rabu adalah sebuah Kompleks empat tingkat dibina pada 2006 dengan keluasan tanah lebih 20 hektar dengan kos pembinaannya lebih RM10 juta.

Antara objektif utamanya ialah memberi ruang dan peluang kepada penduduk tempatan Langkawi menyemarakkan ekonomi dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

-- BERNAMA