Bermula 1 Jun Semua Ejen Tarik Kereta Perlu Ada Permit Sah Daripada KPDNKK

KUCHING, 6 Mei (Bernama) -- Semua ejen tarik kereta yang dilantik oleh pihak institusi perbankan perlu mendapatkan permit sah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seperti diperuntukkan dalam Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010).

Pengarah KPDNKK cawangan Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata berkuat kuasa 1 Jun ini semua ejen terbabit perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan sama sekali tidak boleh menggunakan kekerasan dalam setiap urusan dengan pihak penyewa ataupun pembeli.

"Proses pengambilan semula kenderaan hendaklah dilakukan oleh ejen perolehan yang mempunyai permit yang dikeluarkan oleh KPDNKK ataupun Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri dan pengambilan semula kenderaan tidak boleh dilakukan secara kekerasan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata di bawah pindaan tersebut juga, proses pengambilan semula perlu mendapat perintah mahkamah sekiranya penyewa telah membayar ansuran melebihi 75 peratus daripada harga kenderaan.

Menurutnya ejen sah yang gagal mematuhi peraturan ataupun prosedur yang telah ditetapkan boleh dikenakan denda RM25,000 ataupun tiga tahun penjara ataupun RM50,000 atau lima tahun penjara untuk kesalahan kedua.

Wan Ahmad Uzir berkata semua ejen yang ingin memohon permit menarik kereta juga perlu menghadiri proses temuduga dengan pihak polis untuk memastikan mereka tidak pernah terbabit dalam sebarang kes jenayah selain berusia 21 tahun ke atas dan warganegara yang sah.

"Sesiapa sahaja (21 tahun ke atas) yang berminat untuk menjadi penarik kereta boleh memohon permit daripada KPDNKK dengan bayaran hanya RM20 untuk satu permit untuk tempoh sah selama dua tahun dan RM20 untuk pembaharuan selama dua tahun seterusnya," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata bermula 1 Jun ini juga semua kenderaan bermotor terpakai, dibaik pulih dan diubah suai diwajibkan menjalani pemeriksaan menyeluruh di PUSPAKOM bagi memastikan status atau keadaan kenderaan sebelum dijual.

Katanya selepas disahkan oleh pihak Puspakom barulah proses pembelian secara sewa beli boleh dilakukan.

-- BERNAMA