USM Anjur Persidangan Masa Depan Sastera Dan Bahasa Melayu

GEORGE TOWN, 11 Mac (Bernama) -- Perkembangan sastera dan bahasa Melayu dalam tempoh 10 tahun akan datang akan menjadi bahan kupasan pada Persidangan Kebangsaan Pengajian Sastera dan Bahasa Melayu 2011 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) selama dua hari mulai 30 Mac ini.

Ia akan bertemakan "Realiti, Kerelevanan dan Masa Depan: Merekayasa Ketampakan dan Kelestarian Pengajian Sastera dan Bahasa Melayu".

"Persidangan ini akan membincangkan perkembangan pengajian bahasa dan sastera Melayu di Malaysia untuk membentuk kerjasama akademik antara sarjana dalam bidang pengajian bahasa dan sastera Melayu dan membina hala tuju pengajian bahasa dan sastera Melayu dalam masa 10 tahun akan datang.

"Pengajian sastera dan bahasa Melayu menghadapi cabaran yang sangat besar dan cabaran ini tidak boleh dihadapi bersendirian. Oleh itu universiti perlu bersatu bagi menghadapi cabaran disamping membantu meningkatkan kecemerlangan pengajian sastera dan bahasa Melayu serta prestasi universiti masing-masing," kata pengerusi jawatankuasa penganjur persidangan, Dr Sohaimi Abdul Aziz.

Beliau berkata melalui persidangan itu usaha akan dibuat untuk mengaitkan pengajian bahasa dan sastera Melayu dengan perkembangan pelbagai disiplin ilmu pada masa kini dan memikirkan semula pengantarabangsaan pengajian bahasa dan sastera Melayu, peranan universiti, agensi kerajaan, pihak swasta dan badan antarabangsa seperti Unesco.

Katanya kecemerlangan itu akan membolehkan pengajian sastera dan bahasa Melayu dapat melaksanakan jaringan antarabangsa dengan universiti- universiti di luar negara bagi membina satu impak yang lebih global.

-- BERNAMA