Rakyat Malaysia Perlu Jadi Pengguna Yang Bijak

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Orang ramai perlu meningkatkan tahap kesedaran mereka berhubung hak-hak kepenggunaan dan belajar menjadi pengguna yang bijak, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe.

Pengguna tempatan perlu bersatu dan menggunakan pengaruh mereka ke atas harga terutama apabila berurusan dengan peniaga yang gemar mengaut keuntungan, katanya kepada Bernama.

"Pengguna mempunyai kuasa untuk melindungi diri sendiri. Mereka boleh sahaja mencari alternatif yang lebih murah jika mengamalkan sikap kepenggunaan yang bijak kerana banyak outlet yang menjual barangan yang sama," katanya.

Dalam satu kaji selidik yang dijalankan kementeriannya menunjukkan bahawa kesedaran pengguna di Malaysia secara relatifnya rendah, katanya.

Mengambil satu contoh mengenai industri kafe tempatan di mana pengguna menggunakan hak dan pengaruh mereka, Tan berkata beliau mendapati bahawa rangkaian runcit kopi asing telah menutup sebilangan outlet mereka di Malaysia berikutan saingan hebat dari kopitiam moden tempatan di mana kopinya lebih murah tetapi dengan rasa yang lebih kurang sama.

Tan berkata beliau memahami bahawa apabila orang ramai memulakan perniagaan, matlamat mereka adalah untuk membuat untung.

"Semua itu boleh difahami. Tapi kadang kala terdapat usaha mengaut untung lebih apabila peniaga meletakkan harga yang tinggi sehingga benar-benar membebankan pengguna.

Menggunakan satu analogi, beliau berkata peningkatan harga bermakna bahawa pengguna akan berasa terbeban dan masih boleh menanggungnya tetapi apabila sikap mengaut untung berlebihan mengambil tempat " ia seolah-olah mereka akan jadi lebam atau berdarah".

Sehubungan itu, Tan yang juga Anggota Parlimen Grik berkata para pengguna perlu meningkatkan kesedaran mengenai hak-hak mereka dan belajar untuk menyuarakan penentangan mereka terhadap peningkatan harga yang berlebihan.

Beliau juga meminta para peniaga supaya mengamalkan etika perniagaan yang baik dan mengelakkan sikap mengaut untung berlebihan kerana mereka juga merupakan pengguna bagi barangan atau perkhidmatan yang lain.

"Mereka tidak sepatutnya memulakan rantaian reaksi ke arah harga barangan yang tinggi. Jika harga barangan mereka berpatutan, ia tidak bermakna bahawa mereka akan rugi. Mungkin mereka mendapat pendapatan yang lebih kerana mereka dapat menjual dalam jumlah yang banyak apabila lebih ramai pengguna tertarik untuk membeli kerana harga yang murah," katanya.

Tan, yang juga Ketua Wanita Parti Gerakan berkata, kerajaan amat prihatin mengenai beban harga yang tinggi ke atas pengguna dan akan campur tangan terutama semasa musim perayaan.

Bagi sambutan Tahun Baru Cina, kementeriannya telah meletakkan kawalan harga ke atas 11 barangan termasuk pelbagai jenis ayam, telur, ikan bawal putih, kobis dan daging babi.

"Kerajaan juga meletakkan kawalan harga ke atas barangan keperluan bagi perayaan yang lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas," katanya.

Menurut laman web kementerian, 842 kes atau aduan direkodkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 tahun lepas dan dalam proses itu barangan berjumlah RM740,128 dirampas. Sebanyak 794 kes aduan di bawah Akta Perliundungan Pengguna, 1999 dan barangan bernilai RM596,141 dirampas.

Tan berkata kementeriannya yang mempunyai Bahagian Konsumerism, akan mengambil langkah pro aktif ke arah mendidik lebih ramai pengguna mengenai hak-hak mereka melalui media dan dengan turun ke padang terutama di kawasan luar bandar.

Beliau juga berharap pengguna akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan pengguna bagi membantu kerajaan meningkatkan kesedaran kepenggunaan yang tinggi di kalangan orang ramai ke arah mewujudkan gerakan pengguna yang adil dan objektif.

Di bawah Dasar Kepenggunaan Negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan berusaha mewujudkan persekitaran yang harmoni dan hak yang adil dan saksama dan kebertanggungjawaban di kalangan pengguna, peniaga/pengeluar dan kerajaan melalui peraturan yang dipertingkatkan, etika perniagaan, pendidikan, amalan kesihatan dan kemudahan awam.

-- BERNAMA