Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak Mula Beroperasi

KOTA SAMARAHAN, 1 Jan (Bernama) -- Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, yang memulakan perkhidmatan pesakit dalam hari ini, akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi, kata Ketua Jabatan Kardiologi dan Pusat Penyelidikan Klinikal HUS Profesor Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata pusat jantung itu, kira-kira 15 kilometer dari Kuching, akan memulakan perkhidmatan pesakit luarnya Isnin ini.

"Semua pesakit jantung akan dipindahkan dari HUS ke Pusat Jantung di sini, secara berperingkat. Unit Kardiak HUS di Kuching akan ditutup perlahan-lahan. Kami menjangkakan pemindahan sepenuhnya menjelang 15 Jan.

"Dengan kemudahan terkini, kami mampu melakukan lebih lagi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya kepada pemberita.

Pusat yang menelan belanja RM400 juta itu beroperasi dengan 500 kakitangan dan 60 katil. Unit pesakit luarnya dijangka menerima lebih 20,000 pesakit tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan pusat itu pada 16 Jan.

-- BERNAMA