Lebih 7,000 Peniaga Kecil Dapat Pinjaman Kredit Mikro Bank Rakyat

KULIM, 15 Nov (Bernama) -- Lebih 7,000 peniaga kecil pelbagai kaum di seluruh negara mendapat kemudahan pinjaman berjumlah lebih RM100 juta di bawah Skim Pinjaman Kredit Mikro daripada 50 cawangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat), sejak 2007.

Pengurus Jabatan Kredit Mikro Bank Rakyat Norbaiti Rahmat berkata skim yang bertujuan memberi kemudahan dan ruang kepada peniaga-peniaga kecil yang tidak dapat memenuhi kehendak bank seperti menyediakan cagaran dan sebagainya, menyediakan kemudahan pinjaman antara RM1,000 hingga RM50,000 untuk perniagaan mereka.

"Selain tidak memerlukan sebarang cagaran peminjam-peminjam ini hanya perlu menyertai program Kumpulan Bantu Diri (KBD) yang memerlukan kumpulan terdiri daripada lima hingga 10 orang sekumpulan sekaligus membuat permohonan kepada Jabatan Kredit Mikro," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Hari Keluarga Kelab Usahawan Mikro Bank Rakyat Kulim, di sini, Isnin.

Katanya program ini bukan sahaja dapat mengelak para usahawan dan peniaga kecil terjebak dengan budaya pinjaman "Ah Long" tetapi mereka juga akan dapat membantu mengatasi masalah bayaran balik kepada bank kelak.

Hampir 200 para usahawan dan peniaga-peniaga kecil yang menyertai kelab tersebut hadir bersama keluarga mereka pada perjumpaan pertama kali seumpama itu hari ini.

Mereka terdiri daripada peminjam-peminjam Kredit Mikro Bank Rakyat Cawangan Kulim yang telah mendapat kemudahan itu daripada bank tersebut sejak diperkenalkan pada 2007 sehingga sekarang.

Beliau berkata jika para usahawan dan peniaga kecil yang mendapat pinjaman kredit mikro benar-benar mendisiplin diri mereka dengan bayaran balik yang memuaskan, mereka juga berpeluang mendapatkan kemudahan pinjaman ke tahap RM100,000 hinggalah kepada pinjaman Industri Kecil Sederhana (IKS).

Norbaiti berkata bank berkenaan tidak pernah melantik sebarang agensi atau wakil untuk mendapat pinjaman melalui skim tersebut dan para usahawan atau peniaga kecil yang memerlukan kemudahan pinjaman tersebut hendaklah terus menemui kakitangan bank di cawangan-cawangan terdekat.

Mereka juga boleh menghubungi telerakyat 03-21179000.

-- BERNAMA