12 Syarikat Pembuat Kuih Bulan Diberi Sijil Halal

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan sijil halal kepada 12 syarikat pengeluar kuih bulan yang produknya boleh dimakan oleh masyarakat Islam, kata Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pengeluaran Sijil dan Logo Halal Jakim, Abdul Hamid Mohamed Salleh.

Syarikat yang mendapat pengesahan halal tersebut ialah HYT Food Industries Sdn Bhd; Leong Yin Pastry Sdn Bhd; Sakura Food Manufacturing (M) Sdn Bhd; TT Food Manufacturing Sdn Bhd; The Baker's Cottage Sdn Bhd.

LB (Lian Bee) Confectionery Sdn Bhd; KLT Food Industries Sdn Bhd; King's Confectionery Sdn Bhd; Tanjung Omega Sdn Bhd; Tuan Sanawi Tuan Ngah Sdn Bhd; Ayamas Food Corporation Sdn Bhd dan Bake Station Sdn Bhd.

"Sekiranya kuih bulan tersebut ada tertera sijil halal Jakim, ianya boleh dimakan dan dibeli justeru umat Islam tidak perlu ragu-ragu untuk makan kuih bulan yang tertera Sijil Halal Jakim," katanya kepada Bernama semasa diminta mengulas mengenai penjualan kuih bulan yang banyak di pasaran ketika ini yang turut menarik minat masyarakat Islam untuk mencubanya tetapi merasa ragu-ragu.

Abdul Hamid berkata untuk mendapatkan lesen halal Jakim, sesebuah syarikat itu dipantau melalui proses kelulusan yang ketat.

"Jakim memantau dari awal sumber itu diambil sehingga siap produk tersebut," katanya.

Namun beliau tidak menggalakkan masyarakat Islam untuk meraikan Perayaan Kuih Bulan kerana ia bersangkut paut dengan perayaan agama lain.

Pengurus Besar KLT Food Industries Sdn Bhd, Julie Lim berkata syarikatnya mengeluarkan kuih bulan halal di kilang yang berbeza daripada kuih bulan tidak halal.

"Sekarang sudah banyak kuih bulan yang menggunakan minyak sayuran sahaja yang antara kandungan lain terdiri daripada biji teratai, tepung gandum dan gula.

Perayaan Kuih Bulan atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh dikatakan mula diraikan pada akhir zaman Dinasti Yuan (1289 Sebelum Masihi-1341 Masihi) untuk meraikan kemenangan orang China menewaskan penjajah Mongol.



-- BERNAMA