CAP Dakwa Ramai Petani Di Kedah Guna Racun Endosulfan Yang Diharamkan

PULAU PINANG, 24 Jun (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Khamis mendakwa masih banyak petani di Kedah menggunakan racun makhluk perosak jenis Endosulfan yang diharamkan pada tahun 2005.

Presidennya S M Mohd Idris berkata, hasil tinjauan CAP mendapati petani di kawasan Kerpan, Sanglang, Pendang dan Sik menggunakan racun jenis itu untuk menghapuskan siput gondang yang merosakkan tanaman mereka.

"Racun itu tidak dipamerkan dalam kedai, tetapi jika ada permintaan ia dijual dalam botol yang tidak berlabel pada harga RM32 seliter," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Katanya, walaupun racun itu sangat berkesan untuk membunuh siput gondang emas dalam masa 10 hingga 15 minit sahaja, namun ia berbahaya untuk manusia yang memakan hasil tanaman yang terkena semburan racun itu.

Beliau berkata, racun itu telah diharamkan kerana hasil kajian saintifik mendapati ia boleh mengganggu sistem endokrin hingga menyebabkan kerosakan sistem pembiakan dan perkembangan janin manusia dan binatang.

Sehubungan itu CAP menggesa Lembaga Racun Makhluk Perosak supaya mengambil tindakan tegas terhadap penjual racun jenis itu agar ia tidak dijual di kedai-kedai.

-- BERNAMA