Bekalan Air Di Melaka Mencukupi Sehingga 2018

MELAKA, 5 April (Bernama) -- Bekalan air Melaka dijangka mencukupi sehingga 2018 walaupun punca air mentah di negeri ini terhad, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata pada masa kini sumber air mentah dari Sungai Melaka berjumlah 306 juta liter sehari, Sungai Muar (108 juta liter sehari) dan Sungai Kesang (54 juta liter sehari).

"Jumlah keperluan air mentah di Melaka adalah 472.5 liter sehari," katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka yang dianjurkan oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di Seri Negeri di sini Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Omar Kaseh.

Mohd Ali berkata akibat pemanasan global, kekurangan punca air mentah boleh berlaku pada bila-bila masa dan adalah wajar pengguna berusaha menggunakan air secara berhemah.

"Melaka pernah mengalami krisis air pada tahun 1991 dan 2002, dan pengalaman dari krisis itu mengajar kita untuk lebih berhemah dan berhati-hati dalam menguruskan air," katanya.

Katanya Melaka dapat membekalkan air tanpa sebarang catuan atau menjejaskan keperluan pengguna.

Bagaimanpun, katanya, tahap penggunaan air individu di Melaka adalah tinggi iaitu pada kadar 220 liter seorang sehari berbanding kadar penggunaan di peringkat nasional sebanyak 180 liter sehari.

Beliau berkata satu daripada projek yang sedang dilaksanakan ialah projek pembesaran kolam takungan di Durian Tunggal, dekat sini, bernilai RM52 juta bagi meningkatkan takungan air mentah kepada 1.32 juta meter padu daripada 0.85 juta meter padu.

SAMB juga telah menyediakan perancangan bekalan air negeri Melaka untuk tempoh 30 tahun akan datang seperti yang disediakan dalam pelan perniagaan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).



-- BERNAMA