SKS-KL Tawar Satu Lagi Laluan Port Dickson-KLCC

SEREMBAN, 2 April (Bernama) -- Syarikat bas Sistem Kenderaan Seremban-KL Sdn Bhd (SKS-KL) menyediakan satu lagi perkhidmatan iaitu laluan khas Port Dickson-KLCC, khusus untuk penduduk Port Dickson yang bertugas di ibu negara Kuala Lumpur, bermula semalam.

Pengurusnya Rosli Ramlan berkata perkhidmatan laluan khas Port Dickson-KLCC ini diwujudkan selepas pihaknya menerima permintaan ramai yang mahukan satu perkhidmatan bas yang selesa untuk penduduk bandar peranginan itu yang bekerja di Kuala Lumpur.

"Laluan khas ini bermula semalam mulai pukul 5.30 pagi di pasaraya Ten Ten, Port Dickson dan Glory Beach Resort (5.45 pagi) sebelum bertolak ke KLCC melalui pekan Lukut dan Seremban melalui lebuh raya.

"Perjalanan keseluruhannya dijangka mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit melalui Lebuh Raya Port Dickson-Seremban dan Lebuh Raya Utara-Selatan. Ia sekali gus lebih cepat berbanding penumpang terpaksa pergi ke hentian bas Port Dickson dan menukar bas di Seremban untuk ke Kuala Lumpur," katanya di sini, pada hari Jumaat.

Katanya penumpang juga boleh memilih sama ada berhenti di Pasar Seni, Kuala Lumpur atau terus sampai ke KLCC.

Rosli berkata perkhidmatan laluan khas ini akan disambung pada sebelah petang melibatkan laluan Wisma Getah, KLCC pada pukul 6 petang, sebelum ke Pasar Seni, Kuala Lumpur (6.30 petang) dan terus ke Port Dickson semula bagi memudahkan orang ramai pulang bekerja.

"Kita percaya, dengan pengalaman menyediakan laluan khas untuk penduduk Negeri Sembilan yang bekerja di Kuala Lumpur, laluan ini merupakan satu lagi alternatif penduduk Negeri Sembilan untuk tinggal di Port Dickson yang bekerja di Kuala Lumpur," katanya.

Katanya SKS-KL menyediakan harga tiket promosi iaitu RM9.50 sehala atau untuk lebih menjimatkan, penumpang boleh menggunakan pas bulanan iaitu sebanyak RM350 sebulan.

"Ini merupakan harga tambang promosi kerana harga tiket sebenar adalah RM10 untuk sehala dan RM437 bagi pas bulanan. Saya percaya, penumpang akan menikmati faedah daripada harga promosi ini," katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini, boleh menghubungi wakil laluan, Tay Chew Eng di talian 013-3470515 atau menghubungi kaunter SKS-KL (06-7630866 / 06-7675660) untuk keterangan lanjut.

SKS-KL adalah syarikat pengangkutan bas yang sinonim memberi perkhidmatan kepada ribuan penduduk Seremban untuk ke Kuala Lumpur atau yang bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada setiap hari.

-- BERNAMA