Mendambakan Air, Air Berkualiti

Oleh Melati Mohd Ariff

Ini ialah bahagian kedua daripada dua bahagian mengenai pentingnya sumber alam ini terus dipelihara serta pelbagai isu yang mengancam sumber air, di peringkat global juga dalam negara.

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Sebagai komponen utama organisma hidupan, air yang berkualiti baik ialah perkara asasi untuk kegunaan manusia.

Ia juga amat diperlukan untuk menampung kegunaan pelbagai aktiviti ekonomi serta sistem ekologi yang kita diami.

Kualiti air juga ditentukan oleh faktor fizikal, kimia dan biologikal memandangkan air ialah pelarut sejagat, yang bermakna ia boleh melarut pelbagai bahan.

Sehubungan dengan itu, kualiti air bergantung kepada bahan yang dilepaskan ke dalam alam sekitar termasuk ke air permukaan dan air bawah tanah.

Perlu juga diingat bahawa air selepas digunakan lazimnya akan kembali ke sistem hidrologikal dan alam sekitar akan menanggung impak buruk jika air ini dibiarkan tanpa dirawat.

KEADAAN DI MALAYSIA

Di Malaysia, bilangan penduduk yang semakin bertambah serta kemajuan dan perkembangan pesat kegiatan ekonomi menjadikan permintaan air semakin meningkat.

Keadaan ini mendorong pelbagai pihak mencari alternatif bagi memastikan bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan negara.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah untuk mengekstrak air bawah tanah dengan sebuah projek disyorkan di Daerah Batang Padang, Perak.

S. Piarapakaran, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) bertegas masih banyak cara untuk menguruskan keperluan air negara terutama di sekitar Lembah Klang.

Di Malaysia, katanya, sumber air permukaan (terutama sungai) dilaporkan lebih banyak berbanding air bawah tanah, dengan memetik perangkaan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

"Jumlah sumber air permukaan di Malaysia ialah 566 km2 berbanding 64 km2 sumber air bawah tanah.

Ini jelas menunjukkan Malaysia perlu memberi perhatian kepada pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air permukaan," beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

PELIHARA SUMBER AIR

Antara langkah yang boleh diambil ialah untuk memelihara sumber air. Ia adalah komitmen semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan tanggungjawab bersama menggunakan air secara lestari dan memulihara sumber air permukaan.

Pemeliharaan sumber air termasuk melindungi sumber air mentah, pengurusan sungai yang lebih cekap, memastikan keperluan air flora dan fauna terjamin di samping mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap.

Menurut Piarapakaran, pemeliharaan sumber air ialah satu langkah bijak berbanding melabur berjuta-juta Ringgit untuk membina prasarana baru seperti empangan, tadahan, loji perawatan serta sistem rangkaian pengagihan.

Langkah-langkah berkenaan, baginya lebih menjimatkan kos dari segi ketersediaan air mentah.

"Dalam jangka masa panjang, cara ini lebih ekonomik. Kita juga perlu ingat air permukaan akan memberi impak langsung kepada air bawah tanah. Kesudahannya jika air bawah tanah menjadi tidak sesuai untuk digunakan, apa pilihan kita selepas itu? "tanya Piarapakaran.

ELAK CEMARI SUNGAI

Beliau turut menekankan bahawa mengurus air permukaan yang sebahagian besarnya sungai, amat penting memandangkan ia menyumbang kepada hampir 95 peratus sumber air mentah untuk kegunaan.

Malangnya usaha untuk melindungi sumber-sumber ini di Malaysia masih lagi tidak mencukupi. Ini menyebabkan semakin banyak kegiatan mencemari sungai oleh industri termasuk di sungai-sungai yang berkongsi sempadan.

"Sebagai contoh Sungai Labu iaitu kombinasi Sungai Batang Nilai dan Sungai Batang Labu yang terdedah kepada pencemaran dari industri, kegiatan komersial dan tangki septik individu.

"Tahukah masyarakat bahawa sungai ini adalah sumber air mentah di Selangor untuk Loji Perawatan Air Salak Tinggi. Hak manusia untuk mendapatkan air berkualiti baik adalah hak asasi sejagat dan tidak terbatas oleh sempadan negeri atau negara, "tegasnya.

Kerajaan Negeri, kata Piarapakaran, perlu menjamin kualiti air mentah bagi memastikan kos perawatan yang setimpal.

Jika kualiti air menurun, jelasnya, ia akan menjadikan kos perawatan lebih tinggi yang bermakna tarif air yang tinggi kepada pengguna.

MENGURUS AIR TANPA HASIL (NRW)

Air Tanpa Hasil (NRW) boleh dikategorikan kehilangan dalam pengeluaran untuk setiap industri pembekal air.

Menurut Water Industry Guide 2008, nilai NRW boleh mencapai setinggi 60 peratus untuk negeri dan 37 peratus ialah purata NRW peringkat kebangsaan bagi keseluruhan industri bekalan air di Malaysia.

Kerugian NRW mencecah hampir RM 1.5 bilion berdasarkan statistik purata tariff serta kegunaan untuk industri dan pengguna domestik.

Mengulas lebih lanjut tentang NRW, Piarapakaran memberitahu bahawa secara umumnya ia masih menjadi faktor utama menyumbang kepada kerugian pendapatan bagi industri bekalan air.

Persatuan Air Antarabangsa (IWA) mendefinisikan NRW kepada tiga komponen iaitu Penggunaan Dengan Kebenaran Tidak Dibil (UAC) yang merujuk kepada air yang digunakan untuk memadamkan api atau pengagihan air percuma atau yang disediakan untuk institusi keagamaan.

Komponen kedua ialah Kehilangan Langsung, yang merujuk kepada penggunaan air tanpa kebenaran serta pemeteran yang tidak tepat termasuk penyambungan haram.

NRW juga merujuk kepada kerugian sebenar akibat kebocoran daripada pemindahan atau pengedaran utama di samping kebocoran dan limpahan daripada simpanan utiliti.

Piarapakaran menggesa pihak kerajaan dan syarikat pembekal air mengambil langkah yang diperlukan untuk menangani isu NRW.

Pengurangan NRW, katanya bermakna lebih banyak permintaan air boleh dipenuhi tanpa perlu membuat pelaburan baru termasuk cadangan projek mengekstrak air bawah tanah di Daerah Batang Padang, Perak.

MUSIM KEMARAU YANG PANJANG

Laporan media baru-baru ini menunjukkan bagaimana empangan, sungai dan tali air mula menjadi kering kontang di Johor dan di negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia serta Sabah.

Keadaan yang mencemaskan ini dikaitkan dengan fenomena El Nino di mana suhu laut di bahagian Lautan Pasifik berhampiran Khatulistiwa menjadi lebih panas daripada biasa.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan ini dijangka berlarutan sehingga April untuk Semenanjung Malaysia sementara di Sabah ia dijangka berpanjangan hingga Mei.

"Keadaan porak-peranda dalam bentuk krisis air adalah sesuatu yang kita tidak ingin berlaku dalam kemarau yang berpanjangan ini. Ketika perubahan iklim akan terus menukar corak taburan hujan, kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kalau hendak diikutkan, pihak kami telah menasihatkan syarikat air untuk melaksanakan pelan kecemasan mereka. Ini penting bagi memastikan pengguna memberikan respons yang sewajarnya di samping membantu syarikat air menyelaras pelan itu jika situasi sebenar berlaku.

"Sehingga kini, kita masih melihat tindakan dibuat bila berlaku waktu kecemasan sahaja," kata Piarapakaran yang jelas kecewa sambil menambah latihan kecemasan perlu dibuat secara berperingkat bagi semua pengguna.

Langkah sedemikian, katanya dapat membantu memperkemaspenyebaran maklumat, halangan komunikasi dan kesediaan pengguna sekiranya berlaku krisis air.

"Dalam krisis, jika pelan kecemasan dibuat dan catuan air dikenakan secara tiba-tiba ini sudah tentu akan memeranjatkan pengguna dan mewujudkan keadaan yang tidak menyenangkan. Berdasarkan kajian di lapangan, penduduk di Melaka akan mengalami trauma sekiranya paip mereka kekeringan. Ini ekoran musim kemarau paling teruk yang dialami beberapa tahun dahulu.

"WECAM baru-baru ini mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihak itu sedang mengkajinya. Pelan ini juga memerlukan maklum balas syarikat bekalan air untuk pelaksanaan yang lebih efektif," tambahnya.

ANTARA SYOR

Piarapakaran yang juga Ketua Pegawai Operasi, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkongsi beberapa syor untuk menangani isu kekurangan air.

Melindungi semua kawasan tadahan air dan kawasan yang berpotensi dilihat sebagai langkah utama yang perlu dilaksanakan.

"Sekiranya kita terus melepaskan bahan toksik ke dalam sungai, kita tidak boleh mengubah keadaan ini apabila berlaku kecemasan.

Sebagai tambahan, rangkaian paip antara loji perawatan air untuk mewujudkan fungsi sistem grid perlu juga dimajukan.

"Ini serupa seperti grid bekalan elektrik. Apabila satu generator kuasa gagal berfungsi, yang lainnya boleh menstabilkan bekalan elektrik. Ini perlu dijadikan sebagai pelan jangka panjang untuk menangani krisis air," jelas Piarapakaran.

Rangkaian paip yang tidak disepadukan, katanya, bukan penyelesaian yang berdaya maju, sambil menambah bahawa ini juga berkait rapat dengan perancangan loji perawatan.

Menurut beliau juga, loji perawatan air tidak sepatutnya berfungsi pada kapasisti maksimum kerana perlu ada simpanan untuk menampung kekurangan apabila berlaku krisis.

Simpanan itu boleh membantu penyaluran air ke kawasan yang dilanda krisis kekurangan air menerusi 'sistem grid' air yang dicadangkan.

JADI PENGGUNA CEKAP

Tidak dapat tidak, kedua-dua pengguna air industri dan domestik perlu memainkan peranan masing-masing untuk menjadi pengguna air yang lebih cekap.

Penggunaan air yang disyor bagi pengguna domestik seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah 165 liter/sehari/seorang.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia menggunakan lebih daripada 300 liter/sehari/seorang.

"Memang ada banyak langkah kecekapan penggunaan air yang boleh diamalkan setiap hari untuk mengurangkan penggunaan air. Kami di WECAM bersedia untuk membantu pengguna untuk menjadi pengguna air yang cekap.

"Sebagai tambahan, penggunaan air oleh pihak industri perlu juga lebih cekap.

Penggunaan air bagi setiap produk atau perkhidmatan boleh dijadikan pengukur untuk memastikan langkah penggunaan air yang cekap seperti proses bebas air, guna semula air atau kitar semula air boleh diamalkan.

"WECAM akan mengemukakan pelan yang lebih terperinci dan efektif kepada kerajaan Malaysia untuk pertimbangan dan pelaksanaan," kata Piarapakaran.

-- BERNAMA