Farmasi Patuhi Harga Siling Penutup Hidung Dan Mulut

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kebanyakan farmasi dan kedai di seluruh negara mematuhi harga siling yang ditetapkan kerajaan bagi penjualan penutup hidung dan mulut mencegah penularan wabak Influenza A(H1N1), seperti yang diumumkan semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penutup hidung dan mulut sebagai barang kawalan sementara dengan harga ditetapkan antara tujuh sen hingga RM6 sekeping berdasarkan kualiti peralatan perubatan itu.

Tinjauan Bernama di beberapa negeri mendapati harga jualan penutup hidung dan mulut itu adalah antara 80 sen hingga RM1 bagi penutup tiga lapis manakala RM5 hingga RM6 untuk penutup jenis N95.

Di MELAKA, farmasi banyak menjual topeng jenis tiga lapis berbanding satu lapis dan dua lapis kerana ia dikatakan lebih berkesan dalam usaha mencegah jangkitan H1N1.

Pembantu farmasi di Jalan Hang Tuah, Steven Loh berkata pihaknya menjualnya dengan harga lebih rendah daripada harga siling kerana mahu lebih ramai memilikinya dan mahu membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Walau bagaimanapun, terdapat farmasi di negeri itu yang kehabisan stok mahu pembekal dapat menghantar bekalan dengan secepat mungkin.

Di KOTA BHARU, penyelia Kian Farmasi, Wan Saryati Wan Din berkata sebelum ini, pihaknya sebelum ini menjual penutup hidung dan mulut itu pada kadar yang tinggi ekoran pembekal mengenakan harga tinggi kepada mereka, namun kini menurunkan harga mengikut yang ditetapkan.

Di KANGAR, beberapa farmasi mendakwa kehabisan bekalan sejak beberapa hari lepas dan tidak pasti bila bekalan baru akan diterima.

Di TERENGGANU, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri itu diarahkan supaya membuat pemantauan terhadap harga penutup hidung dan mulut di farmasi seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata pihaknya sedang mencari punca orang ramai sukar mendapat bekalan penutup hidung dan mulut itu di farmasi, yang dikatakan kehabisan stok.

Di KUCHING, seorang peniaga di Satok berkata permintaan terhadap penutup mulut dan hidung tiga lapis meningkat 50 peratus berikutan penularan wabak itu dan jerebu yang melanda Sarawak.

Katanya tempahan bekalan dari China dan Taiwan tertangguh sejak beberapa minggu lepas berikatan Taufan Morakot.

Di KOTA KINABALU, sebuah pasar raya besar didapati menjual penutup mulut dan hidung tiga lapis pada harga RM1 sekeping, melebihi harga siling 80 sen sekeping.



-- BERNAMA