Teknologi Baru Bina Rumah Ciptaan UTM Dimanfaatkan Golongan Sasar

Oleh Bashariah Zainuddin

JOHOR BAHARU, 26 Mei (Bernama) -- Teknologi "Fast Track Wall" (FTW) yang dibangunkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membina rumah dengan kos lebih rendah dan disiapkan dalam tempoh lebih cepat telah mula dimanfaatkan oleh orang ramai terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Mereka yang telah memanfaatkannya rata-rata melahirkan rasa kagum dan berpuas hati dengan teknologi itu dan bersyukur kini mereka dapat tinggal di rumah lebih selesa berbanding sebelum ini.

Bernama baru-baru ini telah dibawa meninjau rumah yang dibina menggunakan teknologi itu di Kesang Laut dan Sungai Abong di Muar dan mendapati pemilik rumah berkenaan berpuas hati dengan rumah baru mereka yang selesa dengan kos pembinaannya jauh lebih rendah berbanding pembinaan secara biasa.

Pengurus syarikat kontraktor binaan, Shahrol Abu Samah, 35, berkata beliau tertarik untuk menggunakan teknologi itu bagi membina dua buah rumah berkembar apabila disyorkan oleh seorang rakan.

"Teknologi ini sungguh menakjubkan, itu yang boleh saya katakan. Rumah saya siap dalam tempoh 40 hari dan saya hanya membelanjakan RM50,000 untuk membina dua buah rumah berkembar, tidak ada bahan buangan dan saya mampu berjimat," katanya.

Burhanuddin Sahabuddin, 29, dan isterinya Dayang Iza Rozainah Nordin, 21, yang menyewa rumah yang dibina menggunakan kaedah FTW, berkata keadaan dalam rumah lebih sejuk dan selesa walaupun semasa panas terik.

"Walaupun ada kipas siling, namun kami jarang menggunakannya," katanya.

Dayang Iza Rozainah berkata anak kecil mereka yang berusia lapan bulan tidak meragam walaupun cuaca di luar panas kerana keadaan dalam rumah yang dingin dan selesa.

Bagi keluarga miskin, Abu Kassim Salleh, 46, dan isterinya Normaidah Isnin, 36, sumbangan rumah yang menggunakan teknologi FTW membolehkan mereka sekeluarga hidup dalam keadaan lebih selesa.

Abu Kassim berkata rumah mereka yang disiapkan dalam tempoh 20 hari itu mempunyai daya ketahanan yang tinggi.

Projek pembinaan rumah menggunakan teknologi FTW di Kesang Laut dan Sungai Abong itu dipertanggungjawabkan oleh UTM kepada syarikat, MYA Hitech Sdn Bhd.

Pengarah Urusan bahagian binaan syarikat itu, Mohd Arshad Ishak berkata kedudukan bumbung dan tetingkap kaku bukan sahaja menjadikan edaran udara di dalam rumah itu lebih bebas tetapi juga mengelak daripada terangkat jika berlaku ribut.

Tetingkap kaku yang diperbuat daripada kayu yang dipasang kira-kira satu meter dari bumbung, serta bumbung tinggi berbentuk V terbalik, menggabungkan kaedah pembinaan rumah Melayu lama yang menitikberatkan laluan angin.

Dengan menggunakan acuan yang dipasang dengan jaring besi khas sebagai pemegang (sama seperti cara anyaman bakul atau tikar mengkuang), bancuhan simen dituang bagi menyiapkan kepingan dinding.

Mohd Arshad berkata rumah yang menggunakan kaedah itu tidak retak kerana bahagian pasir dan simen yang dibancuh mesti mematuhi piawaian yang ditetapkan, sekiranya tidak dinding akan pecah semasa dikeluarkan daripada acuan.

Kaedah pembinaan rumah menggunakan dinding FTW dibangunkan oleh sekumpulan 14 pensyarah dari Jabatan Seni Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai diketua Prof Dr Muhd Zaimi Abdul Majid.

Zaimi berkata FTW direka bentuk bersesuaian dengan konsep Sistem Pembinaan Berindustri, iaitu satu konsep pembinaan yang menekankan kepada penyediaan komponen bangunan di kilang, sebelum ianya dibawa ke tapak pembinaan untuk dipasang.

"Kami menggabungkan teknologi serta bahan mentah tempatan dengan teknologi Jerman dan Afrika Selatan dalam menyiapkan kaedah baru ini.

Ia merupakan kaedah pembinaan rumah inovatif berasaskan sistem acuan modular menggunakan kombinasi bahan keluli dan plastik," katanya.

Mengenai kos pembinaan, Zaimi berkata ia hanya separuh daripada kos rumah mesra rakyat serta rumah Program Perumah Rakyat Termiskin kerana ia tidak menggunakan kayu dan papan sebaliknya menjalinkan dinding dengan lantai seperti yang digunakan untuk membuat bakul atau tikar.

Sebuah rumah yang dibina menggunakan kaedah FTW dijual dengan harga RM25,000 bagi rumah setingkat dua bilik dan RM27,000 bagi rumah tiga bilik.

Zaimi berkata bulan depan, sebuah syarikat di Sabah akan memulakan projek pembinaan 102 unit buah rumah teres berkembar menggunakan kaedah itu manakala kerajaan negeri Pahang, Sarawak dan Kedah juga telah menunjukkan minat.

-- BERNAMA