IJN: Institusi Yang Mempunyai 'Tanggung Jawab Sosial'

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Jumaat lepas, Kerajaan memutuskan penangguhan keputusannya terhadap permintaan Sime Darby untuk mengambil alih pengurusan Institut Jantung Negara atau lebih dikenali sebagai IJN.

Semasa mengumumkan keputusan Kabinet, Timbalan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, keputusan Kerajaan terhadap pengambilalihan tersebut ditangguhkan sehingga satu kajian yang menyeluruh dijalankan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Kementerian Kesihatan serta Kementerian Kewangan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian tersebut akan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat terutama jaminan Kerajaan terhadap tanggungjawab sosialnya.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang bertanggungjawab terhadap penubuhan IJN, telah menyambut baik keputusan Kerajaan tersebut.

Dalam blognya 'chedet.com', Dr Mahathir berkata, pengurusan IJN sepatutnya dibiarkan seperti sekarang kerana institusi tersebut telah menjalankan tugasnya dengan baik kepada orang ramai.

Kata beliau, jika kerajaan berhasrat untuk meneruskan subsidinya terhadap IJN, maka tidak perlulah instutusi tersebut diswastakan.

Bercakap kepada pemberita pada satu majlis di Petaling Jaya pada hari yang sama, Dr Mahathir berkata, pada pandangan beliau IJN telah memberi khidmat yang amat baik kepada pesakitnya.

APA KATA ORANG RAMAI?

Menurut pemandu teksi, A. Kumaresan, ramai di kalangan rakan sejawatnya berpendapat tidak sesuai bagi orang ramai jika syarikat swasta menguruskan institusi tersebut, lantas langkah untuk menswastakan IJN adalah tidak bijak.

"Kami terkejut mendengar berita tentang ura-ura penswastaan IJN. Saya dah bertanya ramai penumpang dan mereka menyatakan tidak bersetuju kalau IJN diswastakan", kata beliau kepada Bernama.

Ahli akademik serta aktivis sosial, Fatimah Mansur bersetuju dengan pendapat Kumaresan.

Kata Fatimah, negara mempunyai banyak hospital dan pusat perubatan swasta yang cukup untuk keperluan orang ramai.

"Biarlah IJN seperti apa yang adanya. Memang betul, senarai menunggu untuk mendapat rawatan adalah panjang tetapi itu merupakan perkara biasa dan orang ramai memahami asalkan mereka dapat rawatan di institusi ini", kata ibu kepada tiga orang doktor itu.

Bekas kakitangan kerajaan Wee Teck Seng, yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada tahun 2000, berkata IJN adalah satu institusi yang membuka pintunya kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira siapa mereka.

Wee berkata, ramai pesakit yang menerima rawatan di IJN ialah kakitangan kerajaan, mereka yang sudah pencen dan mereka yang tidak mampu.

Menurut beliau, mereka yang kaya dan mampu dengan kos yang tinggi, berupaya untuk mendapat rawatan di institusi perubatan swasta yang banyak di negara ini.

"Setahu saya, sebelum tertubuhnya IJN, ramai rakyat Malaysia terpaksa pergi ke Singapura untuk mendapat rawatan (pembedahan) dan perbelanjaannya memang mahal.

"Kalau IJN diswastakan, tidak mengira apa yang dijanjikan, kami percaya lambat laun kos rawatan akan dinaikkan selepas dua atau tiga tahun.

"Kalaulah ini berlaku, ramai rakyat akan terjejas", kata beliau lagi.

Pensyarah universiti yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Rahman berpendapat konsep penswastaan adalah baik. "Tapi tak sesuai untuk institusi perubatan awam, apatah lagi bila institusi tersebut ialah IJN.

"Lihat apa yang terjadi pada penswastaan Lembaga Letrik Negara dan Telekom. Perkhidmatan bertambah baik dengan begitu ketara sekali tetapi pada harga yang lebih tinggi", kata beliau.

Menurut Abdul Rahman, beliau percaya Kerajaan tahu apa yang terbaik untuk rakyat.

"Saya pasti kerajaan akan membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan rakyat", tambah beliau.

APA KATA PARA PROFESIONAL?

Seorang doktor pediatrik di sebuah pusat perubatan awam di sini, yang enggan namanya disiarkan, berkata: "Saya rasa pakar dan doktor di IJN tidak kisah sangat dengan pendapatan mereka.

"Bagi saya, mereka puas hati dan komited terhadap tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

"Bagi mereka, pendapatan tinggi tidaklah penting tapi apa yang lebih penting adalah tugas mereka kepada rakyat Malaysia. Bagi saya mereka mempunyai hati yang murni", kata beliau.

Seorang doktor di klinik swasta di Shah Alam, yang mahu dikenali sebagai Dr Muzaffar, berkata:

"Saya pasti pakar dan doktor di IJN puas hati dengan keadaan sekarang. Saya berani kata khidmat yang mereka berikan adalah amat baik.

"Tidak pernah terdengar rungutan terhadap mereka dan saya percaya mereka telah melaksanakan tugas dengan baik. Mereka sebenarnya adalah wira-wira negara", tambah beliau.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), juga pada Jummat lepas, telah menyatakan bantahan terhadap rancangan penswastaan tersebut.

IJN BERI HARAPAN

Seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Ida, 40, berkata, beliau amat terhutang budi kepada IJN.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, anak bongsunya yang sekarang berumur 16 bulan, dilahirkan dengan masalah 'jantung berlubang' yang serius.

"Sebenarnya anak saya ada tiga lubang dalam jantung, masalah kecacatan jantung kongental yang teruk", kata Ida.

Doktor mendiagnoskan anak Ida sebagai mempunyai Total Anomalous Pulmonary Venous Drainage (TAPVD), Patent Foramen Ovale (PFA) dan Patent Ductus Arteriousus (PDA).

Pakar IJN berjaya melakukan pembedahan Total Intra Cardiac Repair ke atas bayi tersebut pada 23 Nov tahun lepas yang mengambil masa selama lapan jam.

"Doktor di hospital yang lain telah menyatakan masalah tersebut terlampau rumit dan tidak banyak boleh dilakukan untuk membantu bayi saya.

"Saya dinasihat mendapatkan pandangan kedua dari IJN, dan pakar di situ telah menyatakan satu pembedahan untuk membetulkan masalah tersebut boleh dilakukan", kata Ida, sambil menambah anak itu sekarang sudah sihat.

INSTITUT JANTUNG NEGARA

IJN ditubuhkan pada 1 Ogos 1992.

Sebagai sebuah pusat rujukan untuk penyakit kardiovaskular, IJN merawat kes-kes baru yang dirujuk dari seluruh negara serta memberi rawatan susulan di klinik pesakit luarnya.

Sebagai sebuah pusat pakar bagi penyakit kardiovaskular, IJN menawarkan perawatan menyeluruh dalam perubatan kardiovaskular.

Pada tahun 2009, IJN dijangka mempunyai 432 katil untuk pesakit dan menjadi satu daripada pusat rawatan jantung terkemuka di rantau ini.

-- BERNAMA