Tindakan Kerajaan Selangor Naikkan Sewa Rumah PPR Tidak Wajar

KUANTAN, 4 Dis (Bernama) -- Tindakan Kerajaan Negeri Selangor menaikkan kadar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada RM124 kepada RM250 sebulan tidak wajar, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainuddin.

Walaupun kerajaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menguruskan hal berkaitan rumah PPR namun ini tidak bererti pihak terbabit boleh menaikkan kadar sewa rumah tanpa memikirkan kebajikan rakyat.

"Kerajaan negeri tidak patut menaikkan kadar sewa rumah PPR dengan mendadak walaupun kerajaan Pusat sudah berikan kuasa PBT untuk menyelenggarakan PPR," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Local Agenda 21 Peringkat Negeri Pahang 2008 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Kerajaan Selangor menaikkan sewa PPR, menyebabkan lebih 3,000 penduduk PPR Kota Damansara dan Lembah Subang, Selangor memprotes membantah tindakan yang berkuat kuasa sejak Ogos lepas itu.

-- BERNAMA