Dasar Baru Pemilikan Projek Perumahan Kos Rendah Di Sarawak Diperkenal Tahun Depan

KUCHING, 28 Okt (Bernama) -- Sarawak akan merangka satu dasar baru dalam tempoh enam bulan ini bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak memiliki projek perumahan kos rendah yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.

Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata prosedur pembelian projek perumahan kos rendah di Sarawak akan diperketatkan lagi bagi memastikan hanya golongan berpendapatan rendah sahaja boleh memiliki projek perumahan itu.

Katanya dasar itu diperkenalkan berikutan ada pemilik perumahan kos rendah negeri ini menyalahgunakan keistimewaan dengan menyewakan rumah kepada orang lain setelah membeli rumah atau flat kos rendah berkenaan.

"Sehubungan itu, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Kementerian Perumahan negeri akan menjalankan satu kajian terperinci untuk mengkaji implikasi sebelum merangka satu dasar baru yang dijangka akan siap dalam tempoh enam bulan," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sepakat Jaya di Demak Laut, dekat sini hari ini.

Bagi memastikan perjalanan prosedur itu berjaya, Abang Johari berkata buat permulaan data pemilik rumah di negeri ini akan disusun semula dan dikemas kini.

Merujuk kepada masalah yang dihadapi oleh PPR Taman Sepakat Jaya, projek perintis rumah pangsa kos rendah yang menawarkan sewa mampu dibayar kepada golongan berpendapatan rendah atau tiada pendapatan langsung, Abang Johari berkata kementeriannya akan memperbaiki infrastruktur rumah kos rendah itu dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata satu perbincangan akan diadakan dengan ketua kaum dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut yang juga Menteri Muda Alam Sekitar Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen menyelesaikan masalah demi kepentingan semua.

PPR Taman Sepakat Jaya mempunyai kira-kira 630 unit flat, termasuk 250 unit yang mempunyai tiga bilik untuk disewa manakala 380 unit untuk dijual dengan harga RM29,000 yang mempunyai dua bilik sahaja.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan penyewa PPR Taman Sepakat Jaya telah menyalahgunakan "kelayakan" dengan menyewakan flat kepada orang lain selain prasarana dan kemudahan yang disediakan turut menjadi sasaran vandalisme selain daripada masalah sosial yang berlaku seperti menghidu gam yang berlaku di kawasan itu.

-- BERNAMA