MS1900: 2005 - Piawaian Halal Sistem Pengurusan Kualiti

Oleh Rohana Mustaffa

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Buku biografi Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang baru diterbitkan bertajuk "Ahmad Sarji - Attaining Eminence" adalah setebal 460 muka surat, membayangkan begitu banyak cerita tokoh yang digelar arkitek sektor perkhidmatan awam ini yang boleh dikongsi pembaca.

Idea dan falsafahnya dalam menekankan kualiti dan mutu kerja seperti "Tonggak 12", nilai murni etika yang patut dicontohi penjawat awam, menjadi wajib di dalam sukatan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Semasa menjadi pengerusi Sirim Berhad, Tun Ahmad Sarji terus memberi penekanan terhadap pengurusan kualiti kerja melalui perkataan "piawaian" di bawah International Organisation For Standardisation (ISO) dan lima tahun lepas, mencetuskan idea membangunkan satu standard pengurusan kualiti yang boleh diguna pakai oleh pihak industri dan penyedia perkhidmatan awam serta swasta.

Maka lahirlah MS1900:2005, piawaian halal untuk menggalakkan dan menyuburkan amalan nilai-nilai murni Islam di dalam sistem pengurusan kualiti syarikat atau pertubuhan di negara ini. Ia dihasilkan di bawah Jawatankuasa Standard Industri bagi Standard Halal (ISC I).

Dua tahun selepas program perintis bagi skim pensijilan MS1900:2005 ini dilancarkan, satu seminar akan diadakan pada 30 Okt untuk menganugerahkan pensijilan ini kepada syarikat yang berjaya dan mempromosikan lagi pematuhan pensijilan kepada khalayak yang lebih luas.

Sempena perasmian seminar ini, Bernama menemu bual Tun Ahmad Sarji mengenai MS1900:2005 yang membawa pendekatan peningkatan mutu dan prestasi kerja menerusi penghayatan dan amalan nilai-nilai Islam:

SOALAN : Tun adalah pencetus idea penubuhan Jawatankuasa Standard Industri bagi Standard Halal (ISC I). Bagaimana idea ini timbul dan apa yang mendorong Tun untuk menggerakkan penubuhannya?

JAWAPAN : Idea untuk menubuhkan ISC I ini sebenarnya tercetus daripada pemerhatian saya ke atas suasana yang berlaku di dalam dunia pengurusan, baik di sektor awam mahupun sektor swasta.

Saya perhatikan bahawa satu daripada punca utama masalah kualiti dan mutu kerja yang dihasilkan oleh organisasi di Malaysia ialah ketiadaan satu standard yang dibangunkan berdasarkan piawaian Islam yang boleh dijadikan sebagai panduan atau kayu ukur untuk menilai tahap kecekapan dan keberkesanan aktiviti yang dijalankan oleh organisasi terbabit.

Organisasi-organisasi ini pula sering dikaitkan dengan permasalahan yang berkaitan dengan soal ketelusan dalam pentadbiran, rasuah, kurang iltizam terhadap tugasan yang diamanahkan, tidak menjaga kebajikan stakeholders (pekerja, pelanggan, pemegang saham, masyarakat dan alam sekitar) dan sebagainya.

Dengan kata lain, soal penekanan dan penghayatan nilai-nilai Islam yang murni yang bersifat universal tidak diberi perhatian yang serius oleh pihak pengurusan.

Justeru saya merasakan sudah tiba masanya kita membangunkan satu standard pengurusan kualiti yang boleh diguna pakai oleh pihak industri mahupun penyedia perkhidmatan awam dan swasta.

Jadi saya telah mengambil kesempatan untuk memajukan idea penubuhan ISC I ini semasa saya menjadi Pengerusi Sirim dahulu (selama 10 tahun) dan akhirnya pada 18 Feb 2003, Majlis Standard dan Akreditasi Malaysia (MSDAM) meluluskan penubuhannya.

Semasa saya menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida pada 1986), saya bertanggungjawab berkenaan eksport barang dan perkhidmatan dari Malaysia. Saya berpegang kepada prinsip jika kita mahu meningkatkan tahap kompetitif dan daya saing kita, maka produk dan perkhidmatan kita serta juga tahap pengurusan syarikat-syarikat hendaklah tinggi piawaiannya.

Jadi saya berpendapat bahawa biarpun banyak syarikat mematuhi piawaian yang dikehendaki ISO dan mendapat pensijilan daripada Sirim QAS International, saya merasakan bahawa daya saing kita boleh ditingkatkan sekiranya kita masukkan di dalam piawaian yang sedia ada dengan nilai-nilai Islam seperti menyediakan jawatankuasa syariah untuk memastikan bahawa produk kita halal, proses pengeluarannya halal dan tempat persekitaran kerja mengikut lunas Islam.

Maka saya syorkan supaya diwujudkan piawaian pengurusan dari perspektif Islam dan ini disokong oleh Sirim QAS, Jabatan Standard dan Kementerian Sains dan Teknologi (ketika itu).

Hasil daripada inilah wujudnya MS 1900:2005 iaitu kualiti pengurusan organisasi dari perspektif Islam dan untuk memenuhi syarat-syarat pensijilan, setiap organisasi dan syarikat wajarlah menubuhkan jawatankuasa syariahnya sendiri dan melantik pegawai syariah untuk memberi jaminan akan pematuhan syariat Islam dari segi proses produk halal dan perkhidmatan yang diberikan.

MS1900:2005 telah diwartakan dan sekarang di peringkat bagaimana hendak memasyhurkan piawaian ini supaya syarikat dan organisasi khususnya yang dimiliki orang Islam akan memohon pensijilan ini berdasarkan kepada spesifikasi dan syarat yang disediakan.

Kelebihan MS1900:2005 ialah penekanan terhadap nilai-nilai Islam dan pegangan terhadap prinsip Islam di dalamnya seperti menjamin kualiti dan standard produk dan perkhidmatan yang berterusan yang akan dipastikan melalui surveillance audit (audit pengawasan).

Secara ringkasnya ISC I ini berperanan untuk membangunkan standard halal dalam bidang pengurusan dan produk makanan dan bukan makanan.

Sejak tarikh awal penubuhannya, ISC I dipengerusikan Ikim manakala anggotanya terdiri daripada wakil Jakim (Jabatan Kemajuan Islam), Standard Malaysia, Sirim Berhad, Fomca (Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia), Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Kementerian Kesihatan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Persatuan Pengilang Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta ahli-ahli akademik daripada universiti tempatan.

SOALAN : Sebagai organisasi yang mendukung dan dikaitkan dengan agenda yang berkaitan dengan urusan hal ehwal Islam, jawatan sebagai pengerusi ISC I dan pembabitan Ikim dalam proses pembangunan piawai halal untuk industri, memberi satu imej yang progresif kepada Ikim. Apa komen Tun tentang hal ini?

JAWAPAN : Sememangnya Ikim cuba lari daripada imej tradisional yang sering diberikan oleh masyarakat terhadap institusi-institusi Islam. Agama Islam seharusnya dilihat sebagai satu cara hidup yang menyeluruh yang merangkumi semua aspek kehidupan.

Agama Islam bukan sekadar berkisar tentang soal ibadat, malah ia turut merangkumi panduan-panduan kehidupan baik yang berbentuk ekonomi, sosial, kebudayaan, politik dan sebagainya.

Jadi dengan menjuarai perkara yang selama ini tidak dilihat sebagai sesuatu yang bersifat Islamik oleh masyarakat, walaupun sebenarnya dituntut oleh agama, secara beransur-ansur saya percaya langkah ini dapat mengikis tanggapan tradisional ini. Seterusnya ia dapat memberi satu imej positif terhadap agama Islam itu sendiri untuk dilihat sebagai sebuah agama yang progresif dan dinamik dan bukan bersifat jumud atau statik.

(Timbalan Ketua Pengarah) Nik Mustapha Nik Hassan dilantik menjadi pengerusi disebabkan Ikim yang mempelopori usaha ini dan kerana itu Ikim diberi penghormatan dan beliau dibantu oleh Sirim Berhad, Kementerian Sains dan Teknologi, Jabatan Standard dan sebagainya.

Imej Ikim sudah tentu akan meningkat oleh kerana ini (MS1900:2005) ialah amalan terbaik dari segi Islam, bukan sahaja Ikim dapat menyampaikan atau mendakwahkan prinsip Islam, kefahaman, dan konsep Islam, bahkan melaluinya Ikim dapat memantau serta mempelopori amalan-amalan terbaik dari segi pengurusan.

Ikim berperanan menjalankan pendakwahan usaha ini, tinggal lagi Ikim tidak ada kuasa untuk mengeluarkan sijil MS1900:2005 sebaliknya Sirim yang memegang kuasa itu dan Kementerian Sains menggazetkannya.

Tapi yang penting bagi saya ialah penerokaan idea ini oleh Ikim sendiri.

SOALAN : Apa sebenarnya yang ingin diketengahkan oleh piawaian ini?

JAWAPAN : MS1900:2005 ini merupakan satu daripada piawaian halal dalam bidang pengurusan kualiti yang berjaya dihasilkan oleh Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Islam yang bernaung di bawah ISC I.

Dibangunkan dengan menggunakan kerangka ISO 9001:2000, MS1900:2005 merupakan versi Islam kepada pensijilan ISO 9001:2000 dan adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Bagaimanapun pensijilan kualiti versi Islam ini yang bertajuk : Quality Management System - Requirement From Islamic Perspectives MS1900:2005 memberi perhatian kepada keperluan-keperluan ini bagi mewujudkan apa yang boleh dirujuk sebagai sistem pengurusan kualiti dari perspektif Islam.

Bukan bermaksud untuk mengatakan bahawa ISO 9001:2000 tidak selaras dengan Islam tetapi ia tidak begitu sempurna jika ingin diguna pakai oleh organisasi Islam atau organisasi yang majoriti pekerja atau pelanggannya terdiri daripada masyarakat Islam.

Matlamat utama di sebalik usaha mewujudkan piawaian ini pula ialah untuk menggalakkan dan menyuburkan amalan nilai-nilai murni Islam di dalam sistem pengurusan kualiti syarikat atau pertubuhan di negara ini.

Seterusnya, menerusi penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam sistem pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi, mutu dan prestasi syarikat dapat ditingkatkan agar selaras dengan matlamat perundangan yang dibawa oleh ajaran agama Islam itu sendiri.

Langkah ISC I membangunkan MS1900:2005 ini dilihat memang kena pada masanya kerana negara kita sekarang dilanda masalah penurunan penghayatan nilai murni dalam kalangan ahli masyarakat awam mahupun masyarakat perniagaan.

Keadaan ini dapat diperhatikan melalui isu-isu ketelusan, korupsi, komitmen pekerja dan sebagainya yang masih menyelubungi dunia pengurusan kerajaan mahupun swasta di negara kita.

Lebih memalukan jika syarikat-syarikat yang berhadapan dengan permasalahan yang dinyatakan, merupakan pertubuhan yang diketuai oleh orang Islam, yang kebanyakan pekerjanya juga merupakan pekerja beragama Islam.

Jadi menerusi pelaksanaan dan pensijilan MS1900:2005 adalah diharapkan ia dapat membantu sesebuah syarikat meningkatkan mutu dan prestasinya dan seterusnya menyumbang dengan lebih bermakna untuk pembangunan ummah.

SOALAN : MS1900:2005 dibangunkan atas kerangka ISO9001. Kenapa tidak menggunakan kerangka baru yang dibangunkan khusus untuknya?

JAWAPAN : Sebenarnya tiada apa yang bercanggah dengan prinsip Islam dalam ISO9001. Malah kandungannya sesuai untuk dijadikan panduan oleh organisasi bagi meningkatkan prestasi dan mutu kerja.

Cuma ISO 9001 ini tidak mengenengahkan input Islam yang berkaitan yang boleh dijadikan sebagai panduan oleh organisasi Islam atau organisasi yang majoriti pekerja atau pelanggannya terdiri daripada masyarakat Islam.

Jadi dalam MS1900:2005, input-input ini dimasukkan. Antara input yang dimaksudkan ialah aspek pengamalan dan penghayatan nilai-nilai murni Islam, keperluan mewujudkan jawatan pegawai penasihat syariah, penyediaan kemudahan infrastruktur yang bersesuaian dengan keperluan pekerja Islam dan sebagainya.

Saya difahamkan semasa The International Organisation For Standardisation (ISO) yang berpengkalan di Geneva menggubal ISO 9001 pada pertengahan tahun 1980-an, ada wakil-wakil daripada negara Islam yang terlibat sama.

Cuma bagi mengelak sebarang sentimen yang bakal wujud yang boleh memberi kesan kepada penerimaan ISO9001 dalam kalangan negara pengguna, pihak ISO cuba mengelak daripada meletakkan sebarang indikasi keagamaan mahupun kenegaraan.

Jadi adalah tidak tepat jika kita mengatakan ISO 9001 itu tidak Islamik dan tidak sesuai untuk dijadikan asas kepada standard halal sistem pengurusan kualiti ini. Cuma bagi menjadikannya lebih sesuai dengan keperluan organisasi dan memenuhi keperluan stakeholder Islam, ia perlu ditambah baik dan hasilnya wujudlah MS1900:2005.

Misalnya ISO mengenai pengurusan alam sekitar, ia tidak bercanggah dengan Islam, malah digalakkan, tetapi kita sesuaikannya mengikut perspektifi Islam. Jadi tidak perlu kita mencipta satu standard ISO sendiri jika yang sedia ada boleh digunakan mengikut kesesuaian.

SOALAN : Berdasarkan corak pengurusan organisasi yang Tun perhatikan, baik di sektor korporat, sektor awam mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), apakah dengan melaksanakan MS1900:2005, badan-badan ini akan memperoleh satu kelebihan bersaing jika dibandingkan dengan institusi yang melaksanakan ISO 9001:2000?

JAWAPAN : Dewasa ini pihak pengguna lebih prihatin terhadap mutu serta kualiti produk dan perkhidmatan yang mereka beli atau langgani. Tambahan pula kesedaran tentang pengguna semakin meningkat dalam kalangan masyarakat. Selain itu kuasa beli umat Islam baik di peringkat negara mahupun di peringkat global semakin bertambah baik.

Jadi dengan melaksanakan MS1900:2005, sesebuah organisasi itu akan memperoleh kelebihan bersaing dengan pesaingnya. Selain itu juga, seperti ISO 9001, bagi mendapatkan penganugerahan pensijilan, organisasi perlu melalui proses audit yang ketat oleh pihak Sirim. Jadi sudah tentu perkara-perkara yang menyentuh tadbir urus yang baik akan diberi perhatian yang sewajarnya oleh organisasi dalam memastikan setiap aktiviti yang dijalankan mematuhi dan memenuhi keperluan standard.

Empat syarikat yang setakat ini mendapat pensijilan ini sudah tentu mendapat pengiktirafan dan keyakinan pelanggan. Katalah mereka yang dapat perkhidmatan daripada PNB Darby Park, sudah tentu akan berpuas hati kerana disahkan hotel ini mendapat sijil daripada Sirim QAS International, maka sudah tentu nilai perkhidmatannya lebih baik daripada tempat lain.

Mengikut nilai-nilai Islamnya, kita mesti menyampaikan perkhidmatan yang menepati masa, perkhidmatan yang terbaik dan sebagainya yang kalau sekiranya tidak dipatuhi, sijil itu boleh ditarik balik.

Itulah kelebihannya yang memberikan lebih keyakinan kepada pelanggan dan kita tidak beli sijil itu sewenang-wenangnya. Saya percaya Sirim QAS International tidak memberikan sijil itu sekiranya mereka tidak puas hati terhadap kemampuan sesebuah organisasi itu untuk mematuhti syarat-syarat yang ditetapkan dan selepas itu akan ada pula surveillance audit.

SOALAN : Program perintis bagi skim pensijilan MS1900:2005 dilancarkan Sirim pada September 2006, setakat ini sejauh mana perkembangan program ini dan apakah Tun berpuas hati?

JAWAPAN : Semasa program perintis dilancarkan pada September 2006, terdapat 11 buah syarikat yang berminat untuk melaksanakan MS1900:2005 ini. Memandangkan MS1900:2005 merupakan satu bentuk pensijilan baru, maka Sirim membantu dalam memberi khidmat nasihat serta kepakaran kepada syarikat-syarikat dari segi teknikal tentang cara untuk membangunkan manual atau prosedur kerja dan sebagainya. Seterusnya selepas melalui beberapa peringkat termasuk pelaksanaan proses kerja, mengikut prosedur yang ada, pihak Sirim melakukan audit pensijilan.

Setakat ini empat buah syarikat iaitu Natural Wellness Sdn Bhd, Century Total Logistic Sdn Bhd, Takaful Ikhlas dan PNB Darby Park berjaya mendapatkan pensijilan MS1900:2005 daripada pihak Sirim QAS International Sdn Bhd manakala syarikat-syarikat yang selebihnya masih lagi dalam proses awal pelaksanaan.

Selain itu juga, mulai tahun hadapan, pihak Sirim akan menganjurkan sesi latihan yang mengandungi lima modul kepada syarikat-syarikat yang ingin melaksanakan MS1900:2005 ini. Modul-modul latihan ini memberi penekanan kepada aspek-aspek yang terkandung di dalam MS1900 seperti keperluan syarikat, pengamalan dan penghayatan nilai-nilai murni Islam serta aspek-aspek yang berkaitan dengan keperluan audit pensijilan.

Jadi mana-mana syarikat yang ingin melaksanakan MS1900:2005 perlu menghantar wakil mengikuti latihan ini. Ia bukanlah satu bentuk bebanan kepada syarikat, tetapi lebih berperanan untuk memberi panduan kepada syarikat bagi melaksanakan MS1900:2005 ini dengan lebih berkesan dan sistematik lagi.

Saya fikir pencapaian setakat ini agak perlahan. Sepatutnya lebih daripada empat syarikat yang boleh memperoleh pensijilan ini. Ini pada pandangan saya bersangkut paut dengan penyebaran maklumat, ia terpaksa diperhebatkan mungkin melalui Ikim sendiri, seperti memperbanyakkan seminar dan perbincangan. Kita perlu menekankan mengenai impak atau kesan kepada sebuah organisasi itu jika sijil MS1900:2005 diterima mereka. Barulah mereka boleh terima baik.

Jadi setakat ini saya tidak berpuas hati kerana sedikit sangat yang memohon dan mendapat pensijilan ini, tetapi saya berharap selepas seminar yang dianjurkan ini kita akan dapat lebih banyak lagi syarikat yang memohon MS1900:2005.

SOALAN : Apakah sasaran Tun lebih kepada syarikat atau organisasi Islam?

JAWAPAN : Saya berpendapat syarikat-syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera sama saja keperluannya kerana produk yang dikeluarkan atau perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat-syarikat bukan Bumiputera turut memasuki negara-negara Timur Tengah misalnya, dan negara Islam lain.

Ada juga syarikat dan hotel-hotel yang mempunyai ramai pelanggan Islam, jadi dalam hal ini kedua-duanya penting - syarikat mahu meyakinkan pelanggan Islam dan pelanggan pula akan mendapat keyakinan bila syarikat itu mempunyai sijil seperti MS1900:2005.

Maka pada pandangan saya wajar bagi syarikat-syarikat memohon pensijilan ini untuk memenuhi kehendak pelanggan, misalnya kalau orang dari Timur Tengah datang ke sebuah hotel di Kuala Lumpur dan kalau hotel itu mempunyai pensijilan MS1900:2005, sudah tentu mereka akan lebih bersedia dan yakin untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik di situ sama ada dari segi perkhidmatannya yang berkualiti dan lebih keprihatinan mengikut perspektif Islam atau kemudahan yang perlu untuk orang Islam tersedia, seperti tempat solat dan sebagainya.

Perkara yang sama juga dititik beratkan bagi persekitaran tempat kerja terutama bagi syarikat pengeluaran makanan yang harus menitik beratkan kebersihan dan proses halalnya, bahan yang digunakan dan pembungkusan hendaklah tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

Pada pandangan saya jika mereka memilih untuk mendapatkan pensijilan ini, itu amat disambut baik tetapi jika mereka memilih mendapatkan ISO yang lain, tidak ada juga salahnya.

Saya pernah ke Jakarta dan bermain golf di Pondok Indah pada hari Jumaat, tetapi bila masuk waktu Solat Jumaat, ruang istirahat tempat itu dijadikan tempat berjemaah. Tiada masalah di Indonesia mengenai bab sembahyang ini. Mereka faham orang luar ramai-ramai macam saya, katakan 150 orang, hendak bermain golf dan selepas itu perlu cari masjid, jadi mereka utamakan solat tetamu mereka.

Inilah persediaan yang perlu ada bagi hotel-hotel dan organisasi kita, dalam mengutamakan keperluan pelanggan. Perkara pertama yang saya buat di Ikim ialah menyediakan surau sembahyang.

SOALAN : Sebagai pengerusi PNB, yang mempunyai banyak syarikat subsidiari dan syarikat bersekutu , apakah Tun menggalakkan syarikat-syarikat ini melaksanakan MS1900:2005?

JAWAPAN : Sebenarnya langkah ke arah itu telah diambil. Sebagai bukti PNB Darby Park ialah satu daripada subsidiari PNB yang telah pun selesai melalui proses audit dan berjaya mendapatkan pensijilan MS1900: 2005 ini.

Dalam industri perhotelan, PNB Darby Park boleh berbangga kerana menjadi hotel yang pertama di Malaysia yang menerima anugerah pensijilan ini.

Pada seminar nanti beberapa syarikat telah dipanggil, jadi yang penting sekarang ialah mendakwahkan pensijilan ini kepada mereka.

Mereka mesti diyakinkan bahawa pematuhan kepada pensijilan ini akan meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan mereka. Bagaimanapun saya tidak boleh paksa mereka. Syarikat itu sendiri harus putuskan sama ada mereka mahukan pensijilan ini.

SOALAN : Apa harapan Tun terhadap MS1900:2005 untuk tempoh terdekat ini dan juga untuk masa akan datang?

JAWAPAN : Saya berharap MS1900:2005 mendapat penerimaan yang baik di kalangan pihak industri dan juga penyedia perkhidmatan, baik di sektor swasta mahupun di sektor awam. Saya percaya dengan melaksanakan MS1900:2005 organisasi akan lebih cemerlang dan lebih berdaya saing serta mampu menjadikan para pekerjanya berkemampuan menghasilkan mutu kerja yang baik.

Saya juga berharap agar MS1900:2005 ini bukan sahaja mendapat penerimaan yang baik daripada organisasi tempatan, malah turut mendapat penerimaan di peringkat antarabangsa terutama daripada syarikat atau badan di negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Harapan saya agak memuncak memikirkan bahawa MS1900:2005 bernilai sejagat. Walaupun dikatakan pematuhannya dari segi perspektif Islam, nilai universalnya boleh diterima semua, termasuk bukan Islam seperti meningkatkan mutu kerja, menambah baik proses kerja, penyampaian yang teratur dan tepat masa, semua ini tidak bercanggah dengan nilai-nilai universal dan sifat-sifat umum yang boleh diterima penganut agama lain. Yang penting sekali kita dakwahkan bahawa sijil ini berciri universal kepada syarikat mahupun individu.

Harapan saya dengan adanya banyak pihak mendapat dan mematuhi pensijilan ini, kita boleh tingkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan kualiti produk kita serta produktivti pekerja. Kualiti perkhidmatan ini diharap biarlah berkekalan untuk memastikan daya saingnya sentiasa tinggi berbanding syarikat yang tiada sijil.

Saya amat yakin dengan manfaat yang diperoleh daripada pematuhan MS1900:2005 ini kerana saya telah menelitinya dari peringkat penyediaan drafnya lagi, kepada proses ditambah nilai dan kecacatannya diperbaiki, hinggalah ia dilancar, diwarta dan dilaksanakan.

-- BERNAMA