Selamat Mana Makanan Yang Kita Makan?

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Mengikut perangkaan Jabatan Statistik Malaysia untuk Mei 2008, harga makanan mewakili lebih daripada 30 peratus daripada Indeks Harga Pengguna (CPI) di Malaysia.

Ini menunjukkan rakyat Malaysia berbelanja besar untuk membeli barang makanan. Tetapi, adakah kita yakin bahawa makanan yang kita beli itu selamat daripada pencemaran? Begitu juga apabila setiap kali kita memasukkan makanan ke mulut, selamat mana makanan yang kita makan?

Mungkin ramai daripada kita tidak sedar bahawa keselamatan makanan sebenarnya satu isu keselamatan awam yang amat penting.

Insiden keselamatan makanan mungkin akan menyebabkan peningkatan bil perubatan, kehilangan waktu kerja yang produktif atau kesan yang lebih serius iaitu kematian?

Kerajaan di seluruh dunia dilaporkan mengambil pelbagai langkah untuk memperbaiki keselamatan makanan berikutan semakin meningkatnya masalah keselamatan makanan demi menjaga kebajikan pengguna.

MASALAH PENYAKIT

Menurut Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users), di negara-negara industri, 30 peratus daripada penduduk negara berkenaan mengalami masalah penyakit dengan makanan menjadi puncanya setiap tahun.

"Contohnya, di Amerika Syarikat, 76 juta kes penyakit disebabkan makanan, mengakibatkan 325,000 orang dimasukkan ke wad dan dianggarkan 5,000 kematian berlaku setiap tahun.

"Bagi negara-negara membangun yang kurang mendokumentasikan perkara ini, kes-kes seperti ini sememangnya membebankan kerana banyaknya penyakit berpunca daripada makanan termasuk yang disebabkan parasit," kata Pengarah Standards Users, Ratna Devi Nadarajan kepada Bernama.

Beliau berkata, kejadian kes cirit-birit yang tinggi di negara-negara membangun berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan bahawa masalah keselamatan makanan boleh dianggap serius.

PUNCA MASALAH

Ratna Devi berkata, terdapat tiga punca masalah makanan iaitu pencemaran disebabkan mikroorganisme seperti kuman dan bakteria, bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan dan pemprosesan makanan serta pencemaran fizikal seperti kotoran dan debu.

Katanya, antara mikroorganisme yang menyebabkan pencemaran makanan ialah bakteria seperti 'Salmonella', 'E.Coli' (terutamanya EO157:H7 yang menyebabkan pendarahan usus), 'Vibrio cholerae', 'Listeria monocytogens' (menyebabkan listeriosis - pendarahan usus) dan kumpulan bakteria 'Campylobacter'.

Kesemua organisme itu berasal dari tanah atau haiwan yang menjadi 'carrier'. Bakteria 'Campylobacter', dan terkandung dalam najis burung merpati.

"Bahan kimia yang wujud secara semula jadi boleh memudaratkan kesihatan makanan termasuk toksin daripada kulat atau cendawan. Ia juga boleh disebabkan bahan alah atau alergen dalam makanan laut dan kekacang.

"Pencemaran makanan diproses akibat bahan kimia boleh berlaku akibat penyimpanan dan pengendalian makanan yang tidak betul," jelasnya.

Ratna Devi menghuraikan bahawa penggunaan bahan penambah makanan yang dilarang juga boleh menyebabkan pencemaran makanan, seperti penggunaan asid borik dalam pemprosesan mi kuning yang diharamkan di Malaysia.

Bahan pencemar daripada racun perosak dan racun perosak yang dilarang juga boleh menyebabkan pencemaran bahan kimia makanan segar dan diproses, katanya.

KOS TINGGI MENGATASI KES PENCEMARAN

WHO menganggarkan kos mengatasi kesan pencemaran makanan sangat tinggi.

Contohnya di Amerika Syarikat, kos perubatan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisme menelan belanja AS$35 bilion setiap tahun (1997).

Jumlah itu, kata Ratna Devi, termasuk kerugian yang dialami oleh sektor makanan akibat penarikan balik dan pelupusan produk makanan.

"Di Peru, kejadian pencemaran cholera berulang dalam ikan dan makanan berasaskan ikan menyebabkan kerugian sebanyak AS$500 juta dalam sektor eksport pada tahun 1991," tambah beliau.

ADUAN PENGGUNA TEMPATAN

Pusat Aduan Khidmat Nasional (NCCC), badan bukan kerajaan yang juga anggota Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menerima pelbagai aduan daripada pengguna termasuk mengenai makanan. Ratna Devi memetik perangkaan NCCC pada 2007, pusat ini menerima lebih daripada 460 aduan berkaitan makanan.

Daripada jumlah itu, hampir 75 peratus atau 360 aduan adalah mengenai isu keselamatan. Kebanyakan daripada makanan itu dibeli di pasar raya besar, kedai runcit dan kedai serba guna 24 jam.

"Aduan berkaitan pelabelan yang paling banyak diterima ialah berhubung tamat tarikh luput. Jenama coklat popular kerap menjadi sumber aduan tarikh luput. Jenama ini juga kerap menerima aduan dari segi pembiakan ulat.

"Jenis aduan yang sangat menjijikkan ialah dari segi kehadiran bahan biologi dalam makanan diproses dan yang dihidang di restoran. Ini termasuk lendir dalam minuman bir dan cicak mati dalam lada hitam," jelas Ratna.

Katanya, terdapat juga aduan lipas mati atau sisa lipas dalam minuman ringan yang dihidang di restoran piza dan susu pekat manis.

PENINGKATAN MENDADAK

Berdasarkan laporan daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD), Kementerian Kesihatan, terdapat peningkatan mendadak dari segi bilangan kes keracunan makanan.

Ratna Devi berkata, dari Januari hingga April 2008, terdapat 6,237 kes keracunan makanan berbanding 6,938 untuk keseluruhan 2006.

"Kami di Standards Users berpendapat sekiranya harga bahan makanan terus meningkat, kecenderungan untuk berkompromi dengan langkah keselamatan dalam proses penyediaan makanan akan turut meningkat.

"Ini akan menyebabkan insiden keselamatan dan keracunan makanan turut meningkat, bersama-sama dengan kehadiran benda asing, penggunaan bahan kimia atau pengawet yang dilarang, penjualan barangan yang tamat tarikh luput, pelabelan yang tidak betul serta pengurangan dalam kekerapan pembersihan premis penyediaan makanan," tegasnya.

LANGKAH SETERUSNYA

Menurut Ratna Devi, apa yang diperlukan ialah untuk semua pihak yang berkepentingan dalam pemprosesan dan perkhidmatan makanan memahami kepentingan keselamatan makanan.

Pihak berkenaan, juga katanya, perlu tahu implikasi jika standard keselamatan makanan seperti Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Bahaya Analisis Tahap Kawalan Kritikal (HACCP) tidak dipatuhi.

Undang-undang, katanya, memainkan peranan penting dalam mengawal kejadian tidak mematuhi standard keselamatan makanan.

"Tetapi sebelum itu, GMP dan HACCP perlu dijadikan mandatori," tegas Ratna Devi.

Beliau berkata Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan Standard Malaysia MS 1514 untuk Prinsip Am Kebersihan Makanan dan MS 1480:2007 Keselamatan Makanan mengikut sistem HACCP.

Kedua-duanya itu, kata beliau, adalah bagi membantu pengilang dan pengendali makanan memastikan penghasilan makanan yang selamat untuk pengguna.

"Tetapi sekiranya status standard hanya berbentuk sukarela, maka pematuhannya sudah tentu minimum.

"Kita memerhatikan kekerapan tinggi dalam kejadian keracunan makanan di sekolah pada 2007 dan awal tahun ini. Terdapat juga aduan keselamatan makanan yang ditujukan kepada NCCC dan FSQD," tegasnya.

LANGKAH BANTU PENGGUNA

Dalam hal keselamatan makanan, sewajarnya pengguna diberi pengetahuan yang mencukupi supaya sentiasa mengambil langkah beringat dan berhati-hati ketika membeli barang makanan.

Dengan peningkatan kos makanan dan kehidupan kini, pengguna sudah pasti akan merasa perit jika terpaksa pula mengeluar belanja untuk bil perubatan.

Pengguna harus diberi akses yang mudah untuk membuat sebarang aduan atau pertanyaan. Segala data harus didokumen dan dikaji semula dalam usaha meningkatkan keselamatan dan sekuriti makanan di Malaysia.

Menurut Ratna Devi, semua pihak berkepentingan juga perlu diingatkan bahawa isu berkaitan keselamatan makanan mengalami evolusi dan pelbagai teknologi dalam pemprosesan makanan mungkin akan mewujudkan risiko baru.

"Teknologi seperti kejuruteraan genetik makanan, nanoteknologi, bahan tambah baru dan lain-lain menimbulkan isu keselamatan dan sekuriti makanan baru.

"Kita tidak seharusnya menghabiskan masa terlalu lama untuk mengkaji isu keselamatan asas dan mengabaikan isu keselamatan baru yuang mungkin memberikan kesan yang lebih serius," katanya.

Standards Users, tambah beliau, mahukan komitmen yang lebih tinggi daripada pihak yang berwajib termasuk FSQD.

Yang pasti, komitmen akan hanya dapat dicapai jika ada kesungguhan. Standard atau peraturan akan menjadi sia-sia tanpa penguatkuasaan dan pematuhan bukan sahaja di pihak berwajib tetapi juga setiap pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran dan pengedaran makanan.

-- BERNAMA