Pengarah Urusan Setia Brothers Sdn Bhd, Norhayati A. Rahim tersenyum puas bersama rangkaian produk Nieman Feramilch yang mengalami penjenamaan semula untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Foto: Mohd Najhan Azman

Susu Kuda Liar Cegah Pelbagai Penyakit

Oleh Mohd Najhan Azman

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Pengambilan susu kuda liar secara berterusan didapati mampu mengawal dan mencegah sel-sel tubuh daripada rosak dan dijangkiti kanser, demikian menurut satu kajian.

Di samping itu ia berupaya melambatkan proses penuaan, menghindarkan tekanan serta penyakit berkaitan darah seperti denggi, kencing manis dan asma.

Namun kesan penyembuhan bagi setiap individu adalah berbeza.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Rozita Rosli, yang berkata, "setakat ini, tiada lagi kajian saintifik (lain) yang dijalankan ke atas kesan susu kuda kepada pesakit kanser dan kami adalah perintisnya pada tahun 1997".

Dr Rozita berkata, perbandingan melibatkan empat jenis susu iaitu susu kuda liar, susu lembu, susu kambing, dan susu manusia; mendapati susu kuda liar adalah susu yang paling menyamai susu manusia dan ia mempunyai ciri-ciri terapeutik atau penyembuhan terhadap penyakit-penyakit tertentu.

KAJIAN IN-VITRO

Beliau menambah, fokus utama kajian adalah terhadap mekanisme tindakbalas susu kuda baka Niemans bagi sel kanser iaitu dua jenis penyakit leukemia (kanser darah) dan seterusnya terhadap empat jenis sel kanser iaitu kanser serviks, kanser ovari, kanser payu dara dan kanser usus.

"Dalam kajian in-vitro yang dijalankan terhadap sel leukemia dari manusia, antara 50 hingga 60 peratus pengurangan dapat dilihat dari segi jumlah kematian sel kanser.

"Ini secara tidak langsung membuktikan susu kuda liar mempunyai sifat antikanser yang mampu bertindak balas terhadap sel-sel kanser tersebut," katanya.

KHASIAT SUSU KUDA YANG HIDUP LIAR

Pengarah Urusan Setia Brothers Sdn Bhd Norhayati A. Rahim berkata, sebagai pengusaha, pengeluar dan pengedar tunggal produk berasaskan susu kuda liar di Malaysia, sambutan terhadap produk Niemans SKL setakat ini amat menggalakkan.

Kini jenama Niemans SKL mengalami penjenamaan semula dan dikenali sebagai Niemans Feramilch.

Niemans Feramilch boleh diambil sebagai makanan tambahan bagi menguatkan tenaga kerana ia mempunyai pelbagai jenis protein.

"Ia juga membantu untuk membekalkan tenaga tambahan, melambatkan proses penuaan dan menopaus, serta mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi," jelas Norhayati.

Beliau berkata, dengan mengambil dua biji kapsul sehari dipercayai dapat menggalakkan pertumbuhan sel baru bagi menggantikan sel yang mati akibat serangan kanser, dan meningkatkan sistem daya tahan badan.

Selain daripada itu, kajian yang dijalankan mendapati tidak semua susu kuda mempunyai khasiat yang sama seperti Niemans Feramilch, yang kuda-kudanya dibiarkan hidup liar di hutan belantara sebuah negara jiran.

Justeru itu, ia mempunyai khasiat terapeutik, berdasarkan faktor pemakanan dan persekitaran semula jadi, kata Norhayati.

Produk baru bakal menyusul ialah yang khusus untuk kegunaan wanita dan kanak-kanak yang mempunyai fungsi masing-masing.

DIPERKENALKAN SEJAK 1996

"Ketika diperkenalkan pada 1996, ia dijual dalam bentuk cecair dengan kapasiti 200ml hingga 500ml, kini dengan pakej baru kami menjualnya dalam bentuk kapsul dengan paket blister mengandungi 20 biji kapsul dan botol (60 biji kapsul)," kata Norhayati.

Norhayati berkata bagi memenuhi permintaan dan pasaran semasa, produk ini akan dijual di farmasi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh terdekat ini.

Menurut Norhayati, penjenamaan semula ini melibatkan transformasi imej, peningkatan kualiti pembungkusan dan yang paling utama, inovasi nutraseutikal melalui penemuan saintifik termaju, yang tidak terdapat pada produk lain di pasaran.

"Ini bagi memenuhi kehendak pengguna di dalam mahupun luar negara," katanya.

Jelasnya lagi, Niemans Feramilch telah mencapai tahap piawaian yang ditetapkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Norhayati berkata, kebanyakan pelanggannya datang sendiri atau melanggan terus daripada syarikat.

"Berita yang tersebar melalui mulut ke mulut lebih berkesan dan amat memberi impak, kerana kenalan baik tidak akan mengesyorkan barangan atau produk yang tidak bermutu atau tidak berkesan kepada kenalan atau keluarga mereka," katanya.

KOMEN PESAKIT

Sejarah produk Niemans bermula ketika seorang ahli keluarga Setia Brothers yang menghidap leukemia, mencuba susu kuda liar dan mendapatinya berkesan untuk meningkatkan kesihatan.

Semenjak itu, mereka merasa terpanggil untuk membantu pesakit lain, lantas mengesyorkannya sebagai rawatan alternatif bagi pesakit kanser.

Seorang pesakit kanser ovari, Nor Aishah Saru, 41, dari Teluk Intan, Perak, berkata, "semenjak dua tahun lepas saya telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak sembilan kali selain daripada pelbagai rawatan perubatan yang lain.

"Namun kesan yang paling ketara terhadap peningkatan kesihatan berlaku setelah menggunakan produk Niemans Feramilch," katanya.

-- BERNAMA