Pengangkutan Awam Perlu Beralih Kepada NGV

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Kenaikan harga minyak mencecah 40 peratus minggu lepas membuka mata ramai pihak tentang betapa pentingnya sektor pengangkutan dalam menggerakkan ekonomi negara.

Ini kerana sebarang perubahan dalam sektor pengangkutan, awam atau persendirian, ia akan membawa implikasi besar kepada pengguna secara menyeluruh terutamanya harga barangan dan perkhidmatan, ekoran kesan berantai yang dibawa sektor itu.

Persoalannya, adakah pendekatan kerajaan memberikan subsidi diesel kepada syarikat pengangkutan awam, terutama pengusaha-pengusaha bas, dan cadangan meluaskan penggunaan kad fleet kepada teksi yang menggunakan petrol akan menyelesaikan krisis kekurangan bahan api itu.

Bagi menjawab persoalan itu, pakar ekonomi tenaga Prof Madya Ahmad Mohd Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata keupayaan untuk menangani krisis bahan api itu bergantung kepada cara kerajaan menguruskan sumber bahan api negara.

Beliau berkata 95 peratus pengunaan bahan api dalam negara bergantung kepada minyak sejak tahun 1970-an, sedangkan Malaysia mempunyai rizab gas asli yang mencukupi bagi keperluan negara untuk tempoh 35 tahun.

"Saya rasa kita tersilap mengendali sumber kita. Kita banyak guna yang sedikit (minyak) tapi sedikit guna yang banyak (gas asli)," katanya kepada Bernama di UKM Bangi dekat sini.

Beliau berkata tiga tahun lepas, Malaysia mempunyai 85.2 trilion standard kaki padu gas asli berbanding 5.2 bilion tong minyak dalam rizab negara.

"Gas asli yang banyak itu sepatutnya dimaksimumkan penggunaannya," katanya.

Kenaikan harga petrol dan diesel berkuatkuasa 5 Jun lepas, masing-masing 78 sen dan RM1 seliter menjadikan harga petrol RM2.70 seliter dan diesel RM2.58 seliter, mengejutkan rakyat Malaysia yang selama ini menikmati subsidi bahan api itu sejak 1982.

Dalam pengumuman penstrukturan semula subsidi itu, kerajaan turut menyelaraskan harga subsidi diesel kepada syarikat pengangkutan awam, syarikat pengangkutan vesel dan nelayan kepada RM1.43 seliter, manakala harga Gas Petroleum Cecair (LPG) dan gas asli untuk kenderaan (NGV) dikekalkan pada kadar RM1.75 setiap kilogram dan 63.5 sen setiap liter.

Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak, Ahmad mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu dasar menetapkan 50 peratus daripada penggunaan bahan api sektor pengangkutan awam terutama bas dan teksi menggunakan NGV bagi menstabilkan penggunaan kedua-dua bahan api itu.

"Kita mempunyai opsyen untuk tidak bergantung kepada minyak dengan menggunakan NGV. Ini kerana 40 peratus daripada penggunaan minyak dalam negara adalah daripada sektor pengangkutan," katanya.

Statistik Pusat Tenaga Malaysia menunjukkan hanya 95 kilo tan setara minyak (KTOE) gas asli mewakili 0.6 peratus daripada jumlah 15,384 KTOE bahan api digunakan sektor pengangkutan pada 2005.

Jumlah itu amat kecil jika dibandingkan dengan 8,194 KTOE petrol, 5,076 KTOE diesel dan 2010 KTOE minyak pesawat (AV gas) yang digunakan sektor pengangkutan pada tahun sama. Sektor pengangkutan lain seperti transit aliran ringan (LRT), komuter KTM dan monorel menggunakan kuasa elektrik.

Selain mengurangkan kebergantungan kepada minyak, Ahmad berkata penggunaan NGV juga lebih mesra alam dan tidak menyebabkan pencemaran udara sepertimana petrol, diesel dan arang batu (di China), selain mampu dilaksanakan kerajaan dalam masa terdekat.

"Dengan andaian bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM1 juta bagi setiap kemudahan NGV di semua stesen minyak yang dinaiktaraf, saya rasa kerajaan masih mampu untuk berbuat demikian," katanya.

Dalam melaksanakan cadangan itu, beliau berkata pembinaan kemudahan NGV di setiap stesen minyak di seluruh negara seharusnya menjadi keutamaan oleh pihak kerajaan.

Ahmad turut mencadangkan kerajaan mengecualikan cukai kepada pengusaha pengangkutan awam yang memasang kit NGV dan memberikan pengecualian cukai jalan selama tiga tahun kepada syarikat terbabit bagi menggalakkan pengunaan NGV.

"Kerajaan juga boleh mewajibkan kenderaan baru yang dikeluarkan dilengkapi dengan NGV. Dengan itu pengguna diberikan pilihan untuk menggunakan NGV atau petrol berdasarkan kemampuan mereka," katanya.

Permintaan terhadap NGV telah meningkat, sejak akhir-akhir ini, sehingga harga pemasangan kit NGV bagi kenderaan persendirian mengikut kapasiti enjin yang sebelum ini sekitar RM3,000 dan RM5,000, mencecah RM10,000 bagi setiap set.

Setong NGV diisi RM8.50 dikatakan mampu mencapai perjalanan sejauh 130km.

Pemerhati industri berpendapat jumlah pengguna pengangkutan awam akan meningkat ekoran kenaikan harga bahan api dan kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap mutu perkhidmatan pengangkutan awam terutama perkhidmatan tren yang menjadi nadi pengangkutan awam di bandar.

"Kenaikan harga minyak akan menyebabkan pengguna beralih kepada pengangkutan awam kerana kos perjalanan meningkat. Mereka akan berfikir dua kali sebelum memandu kereta sendiri jika perkhidmatan bas atau tren ada di kawasan mereka," kata pakar ekonomi Prof Dr Mansor Jusoh kepada Bernama.

Pengangkutan awam menjadi pilihan warga kota yang tidak mahu terperangkap dalam kesesakan trafik terutama pada waktu puncak, ketika pergi dan balik kerja, selain menjimatkan kos dan masa.

Lebih 400,000 penduduk Lembah Klang kini bergantung kepada kemudahan pengangkutan awam yang merangkumi perkhidmatan KTM komuter, LRT, monorel dan bas dalam urusan seharian dan jumlah itu dijangka meningkat pada tahun ini.

-- BERNAMA