Tambang Bas Sekolah Di Sarawak Kekal

KUCHING, 9 Jun (Bernama) -- Persatuan Bas Sekolah Gabungan Sarawak (PBSGS) mengekalkan kadar tambang bas sekolah di negeri ini.

Presidennya Sawoi Anak Anee berkata langkah itu dibuat bagi menghargai pemberian subsidi minyak oleh kerajaan sebelum ini.

"Pengusaha bas sekolah mendapat subsidi diesel sebanyak RM1.43 seliter sejak tahun lepas. Oleh itu PBSGS telah bersetuju untuk mengekalkan tambang bas sekolah pada harga asal seperti sebelum ini dan tidak akan berlaku kenaikan tambang.

"Kalau sebelum ini tambang sebulan ialah RM30, jadi selepas ini ia tetap kekal pada harga yang sama," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Terdapat kira-kira 400 pemilik permit bas sekolah di seluruh Sarawak.

Sementara itu Setiausaha Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak, Wan Samsulri Wan Hasbi berkata semua pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam layak mendapat subsidi diesel dan oleh itu kenaikan tambang tidak seharusnya berlaku.

"Kita berharap pengusaha pengangkutan awam seperti bas sekolah, teksi dan kereta sewa tidak menaikkan tambang kerana mereka telah menerima subsidi daripada kerajaan," katanya.

Wan Samsulri berkata kementerian sedang merangka kertas kerja berhubung pemberian subsidi petrol kepada penguasaha pengangkutan awam yang kenderaan mereka menggunakan petrol.

-- BERNAMA