Kaunter Bayaran Saman Trafik Di The Curve, Damansara Sabtu Ini

PETALING JAYA, 17 April (Bernama) -- Polis Daerah Petaling Jaya akan membuka kaunter bayaran saman trafik dan kaunter pendaftaran Rakan Cop di pusat membeli-belah The Curve, Damansara, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Mohd Shukor Sulong berkata pembukaan kaunter itu akan dirasmikan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Potongan istimewa akan diberikan pada hari itu, katanya dan menurutnya kaunter akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.

"Potongan itu tidak membabitkan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan, pesalah mempunyai waran tangkap, kesalahan lampu trafik, pesalah Ops Sikap dan kesalahan kompaun," katanya ," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah itu di sini, Khamis.

Shukor berkata kemudahan itu diwujudkan sejajar dengan moto 'Mesra Pelanggan' dan untuk memudahkan orang ramai membayar saman tanpa perlu datang ke Balai Polis.

Beliau turut mengalu-alukan kedatangan pengunjung untuk menyertai Rakan Cop bagi membanteras jenayah di daerah itu.

-- BERNAMA