PKNS Tawar 400 Unit Rumah Kos Rendah Pada RM42,000 Seunit

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menawarkan 400 unit rumah kos rendah bagi kawasan Kampung Sri Perantau, Pelabuhan Klang untuk jualan pada harga subsidi RM42,000 seunit.

Rumah yang berukuran 650 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi ini terbuka kepada warganegara Malaysia berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan.

Ia merupakan sebahagian daripada 1,656 unit kos rendah dalam 12 blok yang bersebelahan dengan kawasan perindustrian Pelabuhan Kelang, kata PKNS dalam satu kenyataan hari ini.

Permohonan dibuka mulai hari ini dan akan ditutup apabila unit yang ada habis dijual.

Pengurus Besarnya, Datuk Harun Salim berkata usaha PKNS ini adalah sejajar dengan agenda kerajaan Selangor bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dalam menangani masalah kemiskinan dalam bandar.

Sebahagian dari jumlah unit telah diduduki semenjak tahun 2005 yang kebanyakannya di bawah program setinggan sifar kerajaan negeri Selangor yang dicetuskan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.

PKNS berkata ia sendiri telah terlibat sama dalam 17 projek yang melibatkan 6,389 keluarga yang telah ditempatkan ke kediaman yang selesa.

Pemohon yang berminat boleh mendapatkan borang pemohonan di pejabat PKNS, Jabatan Kemajuan Shah Alam, Tingkat 2, Kompleks PKNS Shah Alam atau hubungi talian 03-55192211 untuk keterangan lanjut.

-- BERNAMA