TANDA PALSU… Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) negeri Azizuddin Azali menunjukkan beberapa jenis air minuman dalam tin yang diletakkan tanda logo "Halal" tiruan semasa membuat serbuan ke sebuah kilang di Bukit Mertajam. Foto: Rosli Nayan

Penguatkuasa Rampas Minuman Tin Guna Logo Halal Palsu

BUKIT MERTAJAM, 21 Nov (Bernama) -- Sebanyak 200,000 tin minuman pelbagai perisa bernilai RM200,000 yang menggunakan logo halal palsu dirampas di sebuah syarikat minuman di Taman Selamat, di sini hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) Jaafar Ismail berkata dalam serbuan tengah hari ini, didapati syarikat minuman itu masih menggunakan logo halal walaupun telah tamat tempoh dan gagal diperbaharui.

" Kita dapati, syarikat minuman tersebut masih menggunakan logo halal, walaupun tidak mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak Julai 2006," katanya kepada pemberita selepas serbuan di premis itu.

Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) Pulau Pinang dan Jakim Pulau Pinang.

Bernama difahamkan syarikat minuman tersebut pernah memohon untuk memperbaharui sijil halal daripada JAKIM, bagaimanapun tidak diluluskan kerana terdapat beberapa kesalahan dalam pengendalian produk tersebut.

Kes itu disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 dan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat.

-- BERNAMA