Penyata Bil Terperinci Boleh Diperolehi Secara Online

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Mulai hari ini pengguna telefon bimbit prabayar boleh mendapatkan penyata bil terperinci secara online.

Apa yang mereka perlu lakukan ialah malayari laman web syarikat telekomunikasi masing-masing.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan syarikat telekomunikasi supaya menyediakan perkhidmatan itu berikutan keputusan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik baru-baru ini.

Bagaimanapun pengguna prabayar tidak akan memperolehi penyata bil mereka seperti pengguna pascabayar, kata seorang pegawai SKMM hari ini.

"Sebaliknya mereka boleh memeriksa bil dan penggunaan mereka secara online. Sekiranya mereka mahu penyata bil dihantar kepada mereka, sejumlah kecil fi akan dikenakan," katanya.

Pengguna prabayar Maxis dan Celcom kini boleh menikmati kemudahan tersebut semntara pelanggan DIGI telah menikmatinya sejak 27 April 2004 menerusi http://www.digi.com.my.

SKMM telah menetapkan tarikh akhir 1 Okt untuk semua syarikat telekomunikasi menyediakan perkhidmatan online tersebut, namun Maxis telah pun menyediakannya sejak 26 Sept lalu.

Pelanggan Maxis perlu mendaftar di http://www.hotlink.com.my sebelum mereka boleh mendapat perkhidmatan percuma itu sementara pelanggan Celcom boleh melayari http://www.celcom.com.my.

-- BERNAMA