Baja Kompos Akan Dipatenkan - DBKL

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang memohon dipatenkan baja kompos yang dihasilkan daripada sisa minyak makanan dan sampah organik.

Baja yang masih dalam tempoh percubaan ini dihasilkan melalui teknologi `hi-wave compo' secara mesra alam, diproses dengan mengumpul sampah organik dari Pasar Borong Kuala Lumpur serta sisa minyak dari premis makanan di sekitar ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Abdul Hakim Borhan berkata dalam jangka masa panjang projek ini diharap dapat mencapai matlamat meningkatkan kualiti alam sekitar dan menjana pendapatan serta meningkatkan interaksi sosial melalui aktiviti bersama di kalangan rakan kongsi.

"Projek perintis ini membabitkan 14 pihak terdiri daripada pihak swasta, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan warga kota.

" Kita cuma membekalkan sampah kepada pelaksana projek ini tanpa mengeluarkan sebarang modal," katanya selepas merasmikan program Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL) di sini hari ini. lagi.

Abdul Hakim berkata antara pihak yang terlibat dalam melaksanakan projek ini ialah Pollution Engineering (M) Sdn Bhd, Universiti Teknologi Mara dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Projek ini dilaksanakan di bawah tema bandar raya bersih dan indah program LA21 KL.

LA21 KL yang dilancarkan hari ini merupakan satu pendekatan yang mengamalkan konsep perkongsian pintar antara pihak yang berkepentingan dalam mengenal pasti cara untuk mengurangkan isu dan masalah yang dihadapi oleh warga kota yang akan dilaksanakan berdasarkan empat tema iaitu bandar raya bersih dan indah, bandar raya selamat, bandar raya sejahtera dan e-bandar raya.

Satu perjanjian memorandum persefahaman turut ditandatangani antara DBKL dan 14 rakan kongsi untuk menjayakan projek pelupusan sisa makanan dan minyak.

-- BERNAMA