Daging Import: Selesai Segera Sebelum Pengguna Menjadi Mangsa

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Seperti bermusim, masalah kekurangan barangan pengguna berlaku lagi. Jika sebelum ini pengguna di negara ini tertekan dengan kekurangan bekalan gula dan minyak masak dalam peket, kini timbul pula isu daging import India.

Rata-rata orang ramai masih belum merasa panas bahang kenaikan harga daging import India ini. Beban kenaikan ini mungkin masih ditanggung dan diserap pengimport atau peniaga.

Namun, keperitannya mungkin akan mula membakar kesabaran orang ramai dalam masa terdekat ini sekiranya kerajaan lambat bertindak untuk membendung kenaikan harga barangan tersebut.

LAGI GAWAT

Apa tidaknya bila semakin banyak majlis kenduri-kendara diadakan sepanjang musim cuti sekolah 18 hingga 26 Ogos ini, diikuti pula pada 13 September apabila umat Islam negara ini mula menjalani ibadah puasa dan seterusnya bersiap untuk sambutan Hari Raya Puasa!

Pastinya, jika tidak ada penyelesaian segera, keadaan boleh menjadi gawat apabila permintaan untuk daging meningkat dalam masa beberapa minggu lagi.

Ini ditambah dengan kecenderungan segelintir pihak yang berkepentingan mengaut untung daripada keperitan yang ditanggung masyarakat pengguna.

Kekurangan bekalan daging di pasaran juga boleh mendorong meningkatnya perbuatan menyeludup daging yang kita tidak pasti status kebersihan dan halalnya.

DAGING IMPORT INDIA

Antara sedar atau tidak, daging import India merupakan komponen penting bagi bekalan daging negara.

Ini memandangkan kemampuan industri daging negara hanya dapat membekalkan kira-kira 20 peratus keperluan daging sementara bakinya, 80 peratus pula terpaksa diimport.

Difahamkan Malaysia mula mengimport daging dari India sejak awal 80-an lagi apabila timbul krisis bekalan import daging dari Australia.

Secara puratanya sebanyak 90,000 tan metrik daging diimport dari India setahun untuk memenuhi keperluan negara ini.

Dengan adanya bekalan daging import India yang banyak ini serta pada kadar harga yang murah berbanding daging tempatan dan daging import yang lain, keadaan ini juga telah mewujudkan industri pemprosesan seperti pembuatan burger, sosej, sate dan produk hiliran daging yang lain.

Sehingga 16 Mei 2007, lima syarikat pengeksport di India yang telah diberi kelulusan untuk mengeksport daging ke Malaysia ialah Al-Kabeer Abatoir, Allanasons Ltd, Hind Agro Industrial Ltd, ALM Industries Ltd dan Amroon Food Pyt Ltd.

Sementara itu, bilangan syarikat pengimport daging dari India di Malaysia pula berjumlah lebih 20 buah syarikat.

PUNCA KENAIKAN HARGA

Di antara syarikat pengimport tersebut ialah Konsortium Pembekal Daging Malaysia (KOPEDA), syarikat milik penuh bumiputera yang merupakan pembekal daging beku terbesar di negara ini.

Menurut Pengarah Urusan KOPEDA, Raja Gazali Raja Abdul Rahman, kenaikan harga daging import India semakin dirasa sejak April 2007.

Kenaikan itu, katanya berkait rapat dengan keputusan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia menggantung lesen dua rumah penyembelihan Allanasons selepas rumah penyembelihan itu diaudit pada April lalu.

"Dengan keputusan tersebut, Allanasons kini hanya dibenarkan mengeksport 60 kontena (1,680 tan) ke Malaysia berbanding 300 kontena (8,400 tan) sebulan sebelumnya.

"Allanasons sebelum ini menguasai sehingga 75 peratus eksport daging India ke Malaysia. Apa yang berlaku sekarang mengakibatkan kekurangan teruk bekalan daging dalam pasaran," kata Raja Gazali kepada Bernama.

Harga daging import India, katanya telah naik dari USD1,575 tan kepada USD2,000 satu tan. "Harga ini dijangka naik sehingga USD2,200 satu tan dalam masa seminggu dua ini," tambahnya.

Beliau turut melahirkan kemusykilan di atas apa yang berlaku ke atas syarikat pengeksport daging India itu.

"Allanasons, sebuah syarikat orang Islam telah mengeksport daging ke Malaysia sejak 25 tahun yang lalu. Saya tidak faham mengapa tiba-tiba sahaja lesen dua rumah penyembelihannya daripada tiga yang diaudit digantung?

"Tambahan syarikat ini pengeksport utama daging dari India ke Malaysia buat sekian lama. Jika pun ada peraturan yang tidak dipatuhi, mengapa syarikat tersebut tidak diberi peluang memperbaiki apa yang patut diperbaiki. Dalam keadaan kes biasa syarikat akan diberi peluang untuk memperbaiki keadaan dan tidak digantung serta merta. Tetapi dalam kes Allanasons, mengapa digantung terus sehingga menjejaskan bekalan daging negara?" soal Raja Gazali.

TANGGUNG RUGI, SERAP KOS

Menurut beliau, KOPEDA yang membekalkan daging beku kepada jabatan-jabatan kerajaan seperti kem tentera, sekolah serta institusi pengajian tinggi kini terpaksa menanggung kerugian akibat kenaikan tersebut.

"Perniagaan KOPEDA bergantung 50 peratus kepada tender pihak yang saya sebutkan tadi dan 50 peratus untuk pasaran terbuka. Akibat kenaikan harga dan kesukaran mendapatkan bekalan daging import India ini, kami terpaksa menanggung kerugian. Kepada siapa kami nak mengadu lagi?

"Kami jangka harga daging ini akan naik lagi menjelang musim cuti sekolah dan ketibaan bulan Ramadan serta Hari Raya Puasa," kata Raja Gazali

Beliau memberitahu secara purata, harga daging import India telah meningkat di antara RM2 hingga RM5 sekilo bergantung kepada jenis bahagian daging.

Raja Gazali juga berkata lebih 500 peniaga bumiputera yang antaranya terbabit dalam pembekalan kontrak seperti hospital, sekolah, penjara, kem tentera mungkin terpaksa "gulung tikar" sekiranya kenaikan dan kekurangan daging berlarutan melebihi tiga atau empat bulan.

Ini kerana, katanya, harga daging yang ditetapkan di bawah kontrak mereka adalah di bawah RM7 sekilo untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Ramly Mokni memberitahu, pihaknya tidak ada pilihan selain terpaksa menyerap kos kenaikan harga daging India yang diimport.

Syarikat beliau yang sememangnya terkenal dengan pelbagai produk hiliran daging seperti burger dan sosej mula menggunakan daging import India sejak memulakan perniagaan pada awal 80an.

"Walaupun kos daging import naik mendadak kepada USD2,000 setan sekarang, pihak kami bagaimanapun tidak boleh menaikkan harga produk kami sesuka hati.

"Kalau naik harga pun mungkin hujung tahun tetapi buat masa sekarang kami terpaksa menyerap kos kenaikan harga ini," katanya kepada Bernama.

Syarikat Ramly membeli 500 tan daging import daripada beberapa pembekal di India sebulan termasuk 125 tan dari Allanasons.

MUNGKIN TERPAKSA TUTUP KEDAI

Bagi pengusaha kantin, Puan Mazlina Ismail, kenaikan harga daging import India kali disifatkan paling teruk sepanjang pengalaman beliau enam tahun mengusahakan kantin.

"Bayangkan dalam tempoh dua bulan (Jun dan Julai) sudah dua kali harga daging import India ini naik. Harga biasa RM7.50 sekilo kemudian naik kepada RM8.50 dan baru semalam bila saya buat pesanan baru (25 Julai) harga naik lagi kepada RM10.00," beliau memberitahu Bernama.

Menurut Mazlina, sebagai pengusaha kantin, pihaknya tidak dapat tidak terpaksa membeli daging tersebut meskipun harganya naik melambung supaya dapat menyajikan pelbagai pilihan makanan untuk pelanggannya.

Bagi beliau, bukan sahaja harga daging import India yang naik malah pelbagai jenis barang keperluan lain seperti beras, tepung gandum, susu pekat dan pelbagai jenis sayuran telah naik harga sejak penghujung 2006 lagi.

"Kadang kala saya rasa macam buat kebajikan sahaja, tak ada untung tetapi saya belum tergamak hendak naikkan harga makanan.

"Setakat ini saya masih dapat bertahan, harap-harap pihak kerajaan dapat lakukan sesuatu supaya kenaikan harga barangan ini dapat dipantau sebaik-baiknya. Jika tidak, alamat pengusaha kantin seperti saya ini mungkin terpaksa tutup kedai," kata Mazlina penuh harapan.

ATASI MASALAH

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilaporkan sudah mengambil pelbagai langkah untuk menangani masalah kekurangan bekalan daging yang dialami beberapa negeri termasuk Johor, Terengganu dan Kelantan sejak beberapa bulan lalu.

Di antara langkah tersebut termasuk meningkatkan import daging lembu beku daripada China, Brazil, Uruguay, Amerika Syarikat, Argentina, Australia dan New Zealand.

Bagaimanapun menurut Raja Gazali, rancangan kerajaan untuk membuka lebih banyak import daging terutamanya dari Australia dan New Zealand tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi kebanyakan pihak sekarang.

"Harga daging import berkenaan adalah lebih mahal melebihi RM18 sekilo dan sudah tentu bukan untuk pasaran rakyat jelata. Pada saya satu cara yang boleh menyelesaikan masalah ini, kembalikan Allanasons ke dalam pasaran," tegasnya.

-- BERNAMA