RapidPenang Diminta Perluas Perkhidmatan Ke Kawasan Kampung

PULAU PINANG, 22 Mei (Bernama) -- Syarikat pengangkutan, RapidPenang perlu memperluaskan perkhidmatan mereka ke kawasan kampung di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) apabila memulakan operasinya Ogos ini bagi memastikan penduduk di situ menerima kemudahan yang sama seperti di kawasan lain.

Tan Cheng Liang (BN-Jawi) berkata syarikat itu seharusnya mengutamakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat terutamanya golongan orang kurang upaya (OKU) dengan menyediakan kemudahan yang sesuai untuk mereka.

"Saya harap RapidPenang tidak hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata dengan menyediakan perkhidmatan ke laluan yang dianggap memberi pulangan lumayan tetapi perlu melibatkan semua laluan kampung supaya penduduk dapat berhubung dan bergerak," katanya ketika membentang usul terima kasih terhadap ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Tan berkata daripada jawapan bertulis yang diterimanya mengenai perkhidmatan RapidPenang ke SPS, syarikat itu hanya akan menyediakan pengangkutan bagi laluan Nibong Tebal ke Megamall, Perai sahaja.

Walaupun negara telah merdeka selama 50 tahun, penduduk di kawasan kampung di SPS tidak mendapat perkhidmatan pengangkutan yang sempurna kerana tiada bas awam yang beroperasi di kawasan mereka.

"Selama ini, mereka yang tinggal di kampung dan pedalaman hanya menggunakan perkhidmatan "kereta sapu" sebagai pengangkutan awam dan perkhidmatan bas hanya boleh diperolehi di pekan Nibong Tebal atau di jalan persekutuan," katanya.

Dari kampung mereka terpaksa berbasikal atau mendapatkan khidmat kereta sapu untuk ke pekan Nibong Tebal bagi mendapatkan bas sama ada ke Bukit Mertajam ataupun ke Butterworth dan Parit Buntar, katanya.

"Setakat ini perkhidmatan bas yang ada ialah dari Nibong Tebal ke Bukit Mertajam dan dari Butterworth ke Parit Buntar yang lalu di jalan persekutuan berhampiran Nibong Tebal," katanya.

Tan berkata ada kaum ibu dan anak-anak yang tinggal di kawasan estet tidak mendapat perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang sempurna kerana tiada pengangkutan.

Siti Faridah Arshad (BN-Telok Bahang) pula mahu agensi-agensi pelaksana program perpaduan kaum meningkatkan aktiviti agar usaha menyatupadukan rakyat menjadi lebih berkesan.

Katanya perpaduan merupakan aset penting negara untuk mencapai kemajuan dalam apa jua bidang serta mempertahankan kemerdekaan negara.

Selain itu, beliau mahu usaha mengukuhkan program penghayatan Rukun Negara dilipatgandakan bagi mengingatkan rakyat berbilang kaum mengenai tunggak atau asas kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini.

-- BERNAMA