PAKET ALTERNATIF... Peniaga kedai runcit Md Jamal Abdul Nazar Naina Md menunjukkan minyak masak paket dua kilogram yang dibekalkan oleh pemborong selepas minyak masak paket satu kilogram ketiadaan stok sejak beberapa minggu lalu. Foto: Rosli Nayan

Pemborong Mula Edar Minyak Masak Paket Dua Kilogram Di Pasaran

PULAU PINANG, 10 Mei (Bernama) -- Pemborong di Pulau Pinang mula mengedarkan minyak masak dalam paket dua kilogram kepada peruncit sejak semalam bagi mengatasi masalah ketiadaan bekalan minyak dalam paket di pasaran negeri ini.

Minyak berkenaan dijual dikatakan oleh pemborong kepada peruncit dengan harga RM5.50 satu paket manakala peruncit menjualnya kepada pengguna dengan harga RM5.70 satu paket.

Tinjauan Bernama di beberapa kedai runcit di Georgetown hari ini mendapati bekalan minyak masak dalam paket itu sudah mula berada di rak bagi menggantikan minyak masak paket sekilogram, yang kini tiada langsung di pasaran. Harga siling untuk pek sekilogram ialah RM2.50 satu paket.

Seorang peruncit, Md Jamal Abdul Nazar Naina Md berkata beliau terpaksa membeli minyak masak pek dua kilogram itu walaupun agak mahal bagi memenuhi keperluan pelanggannya.

Beliau berkata dengan mengeluarkan paket dua kilogram, pemborong tidak terikat dengan harga siling RM2.50 sekilogram kerana sebelum ini memang tiada peraturan mengenai harga paket seumpama itu dikeluarkan.

"Pemborong bebas menjual minyak masak itu mengikut harga mereka dan selaku peruncit kita terpaksa akur dengan harga yang mereka tetapkan kerana sudah lebih tiga minggu kita tidak dapat bekalan minyak masak dalam paket," katanya yang hanya mendapat 30 paket minyak masak berkenaan daripada pemborong.

Seorang pemborong yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Ong berkata tindakan mengeluarkan pek minyak masak dua kilogram itu diharap dapat mengurangkan kerugian yang didakwa terpaksa ditanggungnya jika menjual minyak masak pek sekilogram.

"Kerajaan kata mahu bagi subsidi tapi sampai sekarang tak ada hitam putih pun. Jika kami jual ikut harga siling RM2.50, kami rugi kerana kos mengeluarkan pek sekilogram itu sudah lebih," katanya yang enggan memberitahu kos sebenar mengeluarkan sebungkus minyak masak sekilogram.

Sementara itu, seorang pengguna Fatimah Ahmad menyifatkan tindakan mengeluarkan pek dua kilogram itu sebagai licik kerana selain membebankan pengguna, ia dilihat sebagai cubaan mengelak tindakan pihak berkuasa.

"Saya harap kerajaan ambil tindakan segera mengatasi masalah ini kerana ia menindas pengguna. Bukan sahaja harga minyak masak naik, harga barang-barang lainpun akan ikut naik. Kami nak makan apa?," katanya.

-- BERNAMA