SELESA... Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Menteri Pelancongan Tengku Adnan Tengku Mansor menunjukkan isyarat bagus ketika mencuba Teksi Eksekutif PEMPENA Sdn Bhd pada majlis pelancarannya di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC). Perkhidmatan teksi ini yang dilancarkan pada 2 Februari yang lalu dilihat sebagai satu lagi usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara ini. Foto: Shahrizan Jeffri Aziz

Teksi Eksekutif Pilihan Untuk Keselesaan

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, kerajaan baru-baru ini memperkenalkan satu lagi perkhidmatan teksi iaitu Teksi Eksekutif.

Perkhidmatan teksi ini yang dilancarkan pada 2 Februari 2007 ini juga dilihat sebagai satu lagi usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara ini.

Selain menawarkan kemudahan kepada pelancong asing, ia juga adalah untuk rakyat tempatan yang sanggup membayar lebih demi keselesaan perjalanan mereka.

Sesuai dengan namanya, lesen teksi untuk perkhidmatan ini adalah untuk kenderaan berkeupayaan enjin 2000 cc ke atas dari jenis salun untuk muatan duduk tidak melebihi lima orang termasuk pemandu seperti Proton Perdana, Toyota Camry, Nissan Cefiro dan Honda Accord.

Perkhidmatan Teksi Eksekutif ini juga meliputi Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) seperti Naza Ria dan Nissan Serena.

Kadar tambang Teksi Eksekutif ini bagi kedua-dua jenis salun dan MPV ialah RM6.00 bagi satu kilometer pertama dan 20 sen bagi setiap 100 meter berikutnya.

PERINGKAT PERMULAAN

Menurut Setiausaha, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Zainuddin Ahmad, untuk peringkat permulaan, perkhidmatan Teksi Eksekutif ini akan dilaksanakan di Lembah Kelang.

Dari segi pengeluaran lesennya, beliau menjelaskan ia bukan sahaja boleh diberikan kepada syarikat malah koperasi dan individu.

"Setakat ini, pihak kami telah mengeluarkan 300 unit lesen baru untuk Teksi Eksekutif ini di mana 100 daripadanya diberikan kepada PAMPENA Eksekutif Teksi Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Pelancongan Malaysia," katanya kepada Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Zainuddin memberitahu, pihaknya juga menawarkan lesen Teksi Eksekutif kepada mereka yang memiliki lesen untuk teksi bajet (kenderaan berkapasiti enjin 1500cc-2000cc) atau premier (kenderaan berkapasiti enjin 2000cc ke atas).

"LPKP menawarkan opsyen kepada pengusaha teksi bajet dan teksi premier untuk bertukar kepada perkhidmatan teksi eksekutif. Terpulang kepada pengusaha sama ada mereka berminat atau tidak. Opsyen tersebut boleh dibuat ketika pengusaha teksi membuat ganti kenderaan dan membaharui lesen," jelasnya lagi.

Untuk tahun 2007 ini, Zainuddin menganggarkan kira-kira 1,000 teksi akan mencapai usia tujuh tahun dan perlu ditukar dengan kenderaan baru sebelum lesen teksi boleh diperbaharui.

KEISTIMEWAAN TEKSI EKSEKUTIF

Teksi Eksekutif mempunyai beberapa keistimewaan berbanding teksi bajet atau teksi premier.

Yang paling istimewa ialah pemandu Teksi Eksekutif bukan sahaja boleh memberi perkhidmatan di sekitar Lembah Kelang bahkan boleh membawa penumpang ke mana-mana destinasi di Semenanjung Malaysia.

"Misalnya jika seseorang pelancong itu ingin pergi dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dengan menggunakan perkhidmatan Teksi Eksekutif ini, pemandu Teksi Eksekutif itu boleh membawanya ke sana. Ini adalah kelebihan Teksi Eksekutif di mana perkhidmatannya tidak terhad kepada Lembah Kelang sahaja berbanding teksi bajet atau premier yang kita hadkan operasi mereka di sekitar Lembah Kelang sahaja.

"Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya pemandu teksi bajet atau premier membawa penumpang keluar dari Lembah Kelang," jelas Zainuddin.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa teksi bajet atau premier dibenar membawa penumpang ke tiga destinasi pelancongan iaitu Port Dickson, Genting Highlands dan Melaka.

Bercakap mengenai perbezaan-perbezaan lain Teksi Eksekutif ini, Bernama dimaklumkan bahawa Teksi Eksekutif ini berwarna biru muda dan pemandunya diwajibkan memakai kemeja batik buatan tempatan, berseluar panjang berwarna gelap dan berkasut hitam.

Pemandu Teksi Eksekutif ini juga akan mengeluarkan resit bayaran kepada penumpang apabila sampai ke destinasi.

Bagaimanapun, jika penumpang menaiki Teksi Eksekutif ini di tempat yang ada sistem kupon, tambang akan dikenakan mengikut kadar yang telah ditetapkan di mana penumpang terlebih dahulu perlu membeli kupon perjalanan.

PILIHAN MENGIKUT CITARASA

Memandangkan Teksi Eksekutif ini khusus untuk kelompok "berpendapatan tinggi", Zainuddin tidak menganggap ianya akan menggugat "periuk nasi" pemandu-pemandu teksi lain.

"Pilihan untuk menggunakan Teksi Eksekutif ini adalah mengikut citarasa penumpang. Jika dia rasa mampu untuk menaiki Teksi Eksekutif, itu adalah pilihan dia.

"Lagi pun Teksi Eksekutif ini adalah satu cara untuk kita mempelbagaikan kemudahan perkhidmatan teksi mengikut keperluan orang ramai atau pengguna di samping teksi bajet atau premier yang sedia ada," jelasnya.

Meskipun Teksi Eksekutif mempunyai kelebihan daripada segi operasi tetapi mereka tidak terkecuali daripada syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh LPKP seperti yang dikenakan ke atas pemandu-pemandu teksi yang lain.

Dalam masa yang sama, LPKP juga memastikan pengusaha syarikat teksi supaya hanya memilih pemandu-pemandu yang berdisiplin, berhemah dan berbudi bahasa.

"Selepas dilantik sebagai pemandu, mereka juga hendaklah diberi latihan bagi meningkatkan mutu disiplin, memahami peraturan-peraturan jalanraya dan sentiasa ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk orang ramai.

"Jika perlu, agensi-agensi seperti LPKP, polis dan JPJ juga akan membantu bagi menyertai sesi latihan yang dikendalikan oleh pengusaha," jelas Zainuddin.

USAHA MEMBENDUNG PEMANDU TEKSI SAMSENG

Media baru-baru ini melaporkan sikap segelintir pemandu teksi yang didakwa bertindak seperti samseng terhadap penumpang serta melanggar peraturan.

LPKP yang dilaporkan berusaha untuk menjejak pemandu-pemandu teksi "samseng" itu akhirnya berjaya berbuat demikian.

Seperti kata Zainuddin, "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua." Semua pengusaha (kecuali seorang) dan pemandu yang terlibat tampil untuk perjumpaan dengan Zainuddin pada 26 Mac lepas.

"Pemandu teksi yang bersikap samseng ini tak ramai, hanya segelintir sahaja. Seluruh negara kita ada lebih kurang 50,000 pemandu teksi (termasuk pemandu kedua). Pemandu-pemandu teksi hanya perlu ingat bahawa pihak LPKP mempunyai semua maklumat mereka dan jika mereka membuat kesalahan, pihak kami akan mencari mereka walau di mana mereka berada," ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau meminta orang ramai yang tidak berpuas hati dengan sikap pemandu teksi supaya tampil membuat aduan. Mereka ini, antaranya boleh menelefon sama ada talian aduan LPKP (1-800-88-9600 atau SMS 39900).

Sebagai usaha untuk memastikan semua pemandu teksi mematuhi arahan dan peraturan yang telah ditetapkan, pihak LPKP membuat pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Zainuddin memberitahu beliau sendiri sentiasa "turun padang" untuk membuat pemantauan dan ada kalanya secara "menyamar."

"Pegawai-pegawai saya menjalankan tugas di jalan secara berpakaian seragam atau biasa dan dalam apa jua keadaan, kami akan selalu membawa bersama tanda pengenalan," jelasnya.

PEMANTAUAN BERTERUSAN

Tempat-tempat yang sentiasa menjadi tumpuan rondaan LPKP ialah sekitar bandaraya, hentian-hentian teksi, pusat-pusat sistem kupon di KL Sentral, lapangan terbang KLIA dan LCCT (Terminal Penerbangan Tambang Murah), stesen-stesen LRT, stesen-stesen komuter termasuk hentian-hentian bas utama.

Pihak LPKP juga, tambahnya, secara bersepadu membuat pemantauan dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terutamanya di musim-musim perayaan.

"Kita memandang berat mutu disiplin pemandu teksi oleh kerana mereka adalah harta awam juga duta kecil negara. Orang ramai serta pelancong luar dan dalam negara akan sentiasa memberi perhatian kepada perkhidmatan teksi yang diberikan oleh para pemandu ini.

"Untuk itu, pemandu teksi perlu sentiasa bersikap baik semasa berada di khalayak ramai dan ketika memberi perkhidmatan. Mana-mana pemandu yang didapati melanggar peraturan atau syarat yang ditetapkan, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang," tegasnya.

-- BERNAMA