RIANG RIA… Kegembiraan jelas terpancar di wajah kanak-kanak istimewa Nurfaradila Imran ,10, (duduk kanan) Ahmad Yusuf Masri, 8, (duduk kiri) yang mengikuti rombongan khas Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad. Foto: Mohd Faizol

KTMB, Star Cruises Perkenal Pakej Pelancongan Untuk OKU, Warga Emas

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas kini berpeluang melancong dengan menaiki kapal persiaran dan keretapi dalam satu pakej pelancongan khas untuk golongan itu yang bakal diperkenalkan tahun depan.

Pengurus Besar Unit Perniagaan Strategik Perkhidmatan Antarabandar KTMB Sarbini Tijan berkata pakej itu, hasil usahasama antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Star Cruises, adalah sebahagian usaha organisasi berkenaan menerapkan perkhidmatan yang lebih prihatin dan penyayang.

Cadangan tema yang akan diperkenalkan dalam pakej itu ialah "Grand-Grand Holiday" yang bermaksud pakej pelancongan khas antara datuk dan nenek dengan cucu atau antara OKU dengan orang yang disayangi, katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya pakej pelancongan khas untuk OKU dan warga emas itu akan membabitkan beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Singapura.

"Empat pilihan pakej akan diperkenalkan iaitu pakej pertama perjalanan menaiki keretapi dari Kuala Lumpur ke Singapura dan dari Singapura berlayar dengan kapal Star Cruises ke Pelabuhan Klang," kata Sarbini.

Menurutnya pakej kedua ialah berlayar dari Pelabuhan Klang ke Singapura menaiki kapal Star Cruises dan dari Singapura balik ke Kuala Lumpur menaiki keretapi, dan pakej ketiga pula menawarkan pelayaran menaiki kapal Star Cruises dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pinang dan balik semula ke Kuala Lumpur menaiki keretapi.

Pakej keempat melibatkan penggunaan keretapi dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Klang dengan menaiki kapal Star Cruises.

"Harga yang ditawarkan untuk pakej itu bagaimanapun masih dalam peringkat perbincangan," katanya.

Sarbini berkata sebagai permulaan KTMB telah mengadakan program lawatan bersama OKU, warga emas dan kanak-kanak istimewa ke Pulau Langkawi baru-baru ini sebagai percubaan sebelum memperkenalkan pakej itu.

Program yang diadakan pada bulan lalu itu membabitkan seramai 15 OKU dan kanak-kanak istimewa serta lima warga emas yang dibawa khas menyusuri perjalanan ke utara semenanjung menaiki keretapi "Ekspres Senandung Langkawi" dan berhenti di stesen keretapi Arau, Perlis.

-- BERNAMA