Kadar Kompaun Saman Kesalahan Trafik Turun Hingga 70 Peratus

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Berikutan kenaikan harga minyak dan langkah membudayakan pesalah trafik membayar saman mereka, polis trafik buat pertama kalinya menurunkan kadar kompaun saman kesalahan lalu lintas sehingga 70 peratus berkuatkuasa Isnin.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Mustafa Abdullah berkata mulai Isnin semua saman yang dikeluarkan akan mengikut kadar baru yang lebih rendah daripada kadar lama seperti dipersetujui oleh pihak pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bagaimanapun bagi pesalah trafik yang menerima saman atau kompaun sebelum ini kadar bayaran kesalahan mereka kekal seperti harga lama bagi mengelakkan komplikasi undang-undang," katanya kepada pemberita mengenai perkara itu di pejabatnya di Bukit Aman di sini, Isnin.

Bagaimanapun, katanya kadar saman bagi kesalahan mengikut Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan seperti kemalangan maut, memandu dalam keadaan mabuk, pemandu bawah umur tanpa lesen, memandu dengan cuai dan merbahaya, tiada perlindungan insurans dan lumba haram tidak dikurangkan.

Katanya lagi bagi pesalah trafik yang telah dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka, nilai kompaun adalah sekali ganda daripada harga tawaran tetapi tidak melebihi RM300.

Mustafa berkata kadar baru itu akan kekal jika ramai pesalah trafik membayar saman mereka dan pihaknya akan mengkaji semula harga jika sambutan tidak menggalakkan.

Ditanya kemungkinan langkah pengurangan itu akan menggalakkan pengguna jalan raya lebih berani melanggar undang-undang, Mustafa berkata keputusan penurunan itu walaupun tidak popular tetapi ia bergantung kepada persepsi masyarakat.

"Namun dengan langkah ini kita tidak lagi perlu mengembleng tenaga polis trafik untuk menjalankan Ops Warta bagi memburu pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap dan saman tertunggak," katanya.

Malahan beliau berkata dengan kadar yang rendah ini, orang ramai tidak lagi perlu berurusan dengan polis trafik untuk mengurangkan saman dan mengelakkan budaya memberi rasuah atau "duit kopi".

"Kadar baru ini juga dapat menggalakkan orang ramai membayar saman mereka dengan segera kerana harga kompaunnya rendah," katanya.

Selain itu, katanya orang ramai juga dapat menyemak saman mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Dapat ke nombor 32728 dengan kemudahan "saman alert".

Mustafa berkata orang ramai boleh mengetahui saman mereka dengan melanggan "saman alert" dengan menaip POLIS SAMAN, jarak, nombor kereta, on untuk mengetahui sama ada mereka dikenakan saman atau tidak.

Berikut adalah pecahan bagi kesalahan trafik yang dikenakan kadar kompaun baru:

* Kesalahan kemalangan kecuali yang tidak boleh dikompaun: sebelum ini kadar kompaun kesalahan itu bagi semua kenderaan adalah RM300. Kini bagi bas dan lori kadar barunya (RM200), kereta, teksi, van dan pacuan empat roda (RM150) dan motosikal (RM100).

* Kesalahan pandu laju sebelum ini kadar kompaun bagi semua kenderaan adalah RM150. Kini bagi lori dan bas (RM90), kereta, teksi, van dan pacuan empat roda (RM70) dan motosikal (RM50).

* Kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar sebelum ini kadar kompaunnya bagi teksi RM150, van RM80, kereta RM70 dikurangkan kepada RM50 bagi semua jenis kenderaan.

* Kompaun bagi kesalahan tidak pakai topi keledar dikurangkan daripada RM70 kepada RM30.

* Kesalahan tidak boleh buat pusingan "U", kesalahan memotong cara bahaya serta potong barisan dan kesalahan memandu di lorong kecemasan kadar kompaun bagi lori dan bas turun daripada RM200 menjadi RM90, kereta, teksi, van dan pacuan empat roda daripada RM100 kepada RM70 manakala motosikal daripada RM70 kepada RM50.

* Kompaun bagi kesalahan langgar isyarat lampu merah bagi kadar lamanya untuk lori, bas, teksi, kereta, van dan pacuan empat roda RM200 manakala motosikal RM150.

Kini kadar barunya bagi lori dan bas kekal RM200, kereta, van, teksi dan pacuan empat roda RM150 dan motosikal RM100.

* Kesalahan memandu guna telefon bimbit dan alat komunikasi kadar lamanya bagi lori dan bas RM200, kereta, van, teksi dan pacuan empat roda RM100 dan motosikal RM70. Kini kadar barunya bagi lori dan bas RM90, kereta, van, teksi dan pacuan empat roda RM70 dan motosikal RM50.

* Kesalahan tidak beri laluan sebelum membelok kadar lama untuk lori dan bas RM200, kereta, teksi, van dan pacuan empat roda RM100 dan motosikal RM70. Kadar baru untuk lori dan bas RM90, kereta, van, teksi dan pacuan empat roda RM70 dan motosikal RM50.

* Kesalahan lesen memandu dan tiada dipamerkan cukai jalan kadar lama kompaun untuk lori dan bas RM150, kereta, teksi, van dan pacuan empat roda RM80 dan motosikal RM70. Kadar kompaun baru bagi lori dan bas RM90, kereta, van, teksi dan pacuan empat roda RM70 dan motosikal RM30.

-- BERNAMA